YA TUHAN, BERIKANLAH KESIHATAN DAN PANJANG UMUR BUAT TUN MAHATHIR

“Saya menerima hakikat saya akan mati dan meninggalkan semua perkara ini kepada orang lain. Itu adalah perkara yang biasa berlaku. Anda sudah tua dan anda akan mati. Saya pasti ramai yang berharap saya mati sekarang.

“Tetapi, selagi masih hidup, saya akan menjadi duri dalam daging kepada orang lain. Saya tidak peduli.”

Petikan diatas adalah antara kata-kata yang dilafazkan oleh Tun Mahathir Mohamad dalam interbiunya dengan sebuah portal berita, dua tiga hari yang lalu.

Tun Mahathir kini sudah menjangkau usia 92 tahun, tetapi semangat, azam, usaha dan kesungguhannya untuk menyingkirkan Najib Razak, mengalahkan UMNO dan BN, kadangkala tak terlawan oleh pemimpin lain yang lebih muda daripadanya.

Dalam seminggu, empat atau lima hari jadualnya ialah memenuhi program ceramah dan bertemu rakyat di luar ibu kota. Jika berada di Kuala Lumpur dan tidak ke mana-mana pula, pagi-pagi lagi beliau sudah berada di pejabat dan bertemu dengan ramai orang atau kumpulan yang kebanyakannya adalah berkaitan isu politik dan kenegaraan atau menyampaikan mesej perlunya Najib Razak disingkirkan dengan segera.

Apa yang Tun Mahathir lakukan dalam usahanya untuk menyingkirkan Najib dan menyelamatkan Malaysia harus diakui sedang berada di landasan yang betul sekarang ini. Sambutan hangat kepada program-program yang dihadirinya menyerlahkan hakikat bahawa rakyat mahukan perubahan dan percaya sentuhan beliau mampu membawa kembali keceriaan kepada rakyat dan negara.

Apatah lagi, setelah Anwar Ibrahim berada di penjara, Tun Mahathirlah kini yang tinggal sebagai harapan dan pergantungan kepada perubahan. Bayangkan jika tiada Tun Mahathir mengepalai perjuangan ketika ini sedangkan di waktu yang sama Anwar di penjara dan Pas yang diharap berjuang atas nama Islam, tetapi sudah kabur dalam menilai antara kebenaran dan kepalsuan, antara derma dan samunan serta antara warna putih dan warna hitam.

Selain itu, berdasarkan pelbagai beban dan kesusahan yang dihadapi rakyat, rakyat semakin percaya bahawa hanya perubahan kepimpinan boleh memulihkan segala-galanya. Sebaliknya, jika yang ada menerajui negara sekarang terus kekal, bukan saja kesusahan rakyat akan berterusan, yang paling dibimbangi ialah kerakusan pemimpin melakukan rasuah, penyelewengan serta samunan turut meningkat tanpa kawalan dan segan silu lagi.

Akhirnya, hanya kekayaan dan kemewahan pemimpin yang terserlah, manakala rakyat terus miskin dan susah.

Ketakutan Najib sendiri adalah Tun Mahathir. Kiranya Najib tiada rasa gentar, beliau pasti sudah lama membubarkan Parlimen dan memanggil pilihanraya diadakan. Najib kini sedar pengaruh Tun Mahathir, di samping beban kepimpinannya yang menyusahkan rakyat, adalah hakikat yang harus diterima dengan rasa pahit oleh hati kecilnya.

Dalam melengah-lengahkan pembubaran Parlimen, ia bukan saja bertujuan agar Najib dapat berkuasa dengan lebih lama, tetapi tentunya juga sebagaimana disebut Tun Mahathir dalam petikan interbiunya, “saya pasti ramai yang berharap saya akan mati sekarang.”

Sekiranya Tun Mahathir sudah tiada atau dipanggil mengadap Tuhan dalam waktu terdekat ini , di sebalik mungkin ada di antara mereka tiba-tiba turut bersedih di depan kita, di hati mereka mungkin gembira bukan kepalang dibuatnya.

Ketiadaan Tun Mahathir, sementara Anwar masih di penjara dan Pas sudah terlekat dek gula-gula, adalah rahmat besar buat mereka untuk terus kekal berkuasa.

Tun Mahathir bukan saja gigih, bersungguh dalam usahanya dan masih berpengaruh, malah sedang berusaha menyatukan Pakatan Harapan dengan idea satu logo dan satu manifesto untuk menyaingi dan mengalahkan BN. Ia adalah kejayaan parti-parti pembangkang kiranya dapat direalisasikan.

Beliau juga mempunyai kemampuan memberi kefahaman yang mudah diterima umum mengenai pelbagai masalah dan skandal yang berlaku dalam negara, khususnya yang melibatkan kerakusan Najib mengendalikan kuasa.

Sehingga PRU 14 diadakan, harapan kita tidak lain ialah agar Tun Mahathir sentiasa sihat, dipanjangkan umur dan terus diberikan kekuatan yang berpanjangan dalam usahanya melakukan perubahan bagi kebaikan rakyat dan negara ini, meskipun tidak dinafikan ada yang mengharapkan beliau segera pergi meninggalkan kita.

Selagi kita cintakan negara ini dan tidak mahu melihat anak cucu ditimpa bala kesusahan, kita tentunya tidak sanggup kehilangan Tun Mahathir sebelum waktunya. Lagi pula, penyelewengan dan salah guna kuasa yang sudah menjadi sebutan di seluruh dunia tiada ubatnya, kecuali petualangnya disingkir dengan segera.

Menjangkau usia 92 tahun dan barangkali sedar usianya tidak lagi berbaki lama, selain kepuasan bagi Tun Mahathir, tetapi juga tentunya merupakan kelegaan bagi majoriti rakyat kiranya kejatuhan Najib, UMNO dan BN dapat disaksikan sendiri terlebih dahulu sebelum pemergiannya mengadap Tuhan Yang Esa.

– ShahbudinHusin