WSJ: RED GRANITE SELESAIKAN TUNTUTAN DENGAN K’JAAN AS DALAM KES BERKAITAN 1MDB

Pengeluar filem Amerika, Red Granite Pictures Inc, dilaporkan membuat penyelesaian dengan kerajaan AS ekoran tindakan untuk merampas aset yang didakwa diperolehi dengan dana berkaitan 1MDB.

Menurut The Wall Street Journal (WSJ) hari ini, syarikat yang diasaskan bersama oleh anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – Riza Aziz – telah menyelesaikan tuntutan terhadap pendapatan masa depan dari filem dan aset lain yang dituntut dalam saman sivil pelucuthakan Jabatan Kehakiman (DOJ).

WSJ melaporkan notis penyelesaian itu telah difailkan di mahkamah AS hari ini tetapi tidak mendedahkan sebarang maklumat lanjut.

Peguam Red Granite, Matthew Schwartz dilaporkan berkata pihaknya gembira kerana akhirnya perkara itu telah diselesaikan dan berharap “dapat memfokuskan semula semua perhatian kami kepada perniagaan filem kami”.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan terma penyelesaian itu.

DOJ mendakwa beberapa filem Red Granite termasuk “The Wolf of Wall Street” dan “Dumb and Dumber To” dibiayai dengan wang yang didakwa diseleweng dari 1MDB, dan telah memfailkan tindakan undang-undang untuk merampas pendapatan masa depan daripada filem-filem yang terlibat.

Melalui siri saman pelucuthakan, DOJ telah memohon untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion dalam dana yang didakwanya telah diselewengkan dari 1MDB.

Sebelum ini, mahkamah AS minggu ini telah memberikan kebenaran kepada DOJ untuk menangguhkan saman pelucuthakan itu untuk mengelakkan ia menjejaskan penyiasatan jenayah yang sedang berjalan terhadap dakwaan pengubahan wang haram.

Najib telah menafikan menggunakan dana 1MDB untuk mendapatkan keuntungan peribadi, dan peguam negara telah membersihkan beliau daripada sebarang salah laku.

– M’kini

.