WSJ: 2 LELAKI DIKAITKAN JHO LOW GAGAL KAWAL BANK DI MAURITIUS

Dua lelaki yang dikaitkan dengan jutawan, Jho Low, gagal mengawal kepentingan dalam sebuah bank di Mauritius, menurut Wall Street Journal (WSJ).

Bekas rakan niaga Goldman Sachs Grioup Inc, Tim Leissner yang merupakan bekas eksekutif Goldman yang mengendalikan akaun 1MDB dan ahli perniagaan Phengphian Laogumnerd yang dikenali sebagai rakan Low bekerjasama dalam usaha membeli Century Banking Corp di Mauritius, lapor WSJ.

Laporan itu mengatakan usaha mereka dibuat beberapa bulan selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan saman pelucuthakan sivil pada Julai 2016 mendakwa bahawa Low terlibat dalam mengalihkan dana 1MDB dan menggunakan bank-bank kecil untuk membantu pengubahan wang haram.

WSJ memetik sumber yang mengatakan bahawa bank pusat Mauritius telah menyekat usaha itu dan memberitahu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengenai bidaan kedua-dua mereka kerana kebimbangan mengenai kemungkinan hubungan antara Leissner dan skandal 1MDB.

Antara lain, Leissner (gambar) dilaporkan merupakan tokoh penting dalam usaha Goldman Sach untuk memperoleh AS$ 6.5 bilion melalui jualan tiga bon berkaitan 1MDB pada tahun 2012 dan 2013.

Phengpian, rakan kongsi Leissner dalam bidaan yang gagal itu, juga dijelaskan dalam laporan itu sebagai pembiaya untuk bidaan berkenaan dan mempunyai hubungan perniagaan dengan Low menerusi perniagaan pakaian dalam di London, yang diperoleh dari pemegang amanah keluarga jutawan berkenaan.

Selain itu, laporan itu berkata bank Mauritius dimiliki oleh Ghanim Bin Saad Al Saad Group of Qatar, kumpulan yang sama sebelum ini membeli sebuah bangunan mewah di London pada tahun 2014 dan kini disenaraikan dalam saman DOJ.

Peguam Low ketika dihubungi WSJ enggan memberikan komen, sementara peguam Leissner berkata anak guamnya tidak melakukan sebarang kesalahan dalam urusan berkenaan.

– M’kini

.