WISMA PUTRA TIADA MAKLUMAT KONSUL MATI KERANA MH370

WISMA Putra tiada sebarang maklumat berhubung dakwaan pegawai konsul kehormat Malaysia di Madagascar kononnya mati dibunuh dan pembunuhannya itu ada kaitan dengan misteri kehilangan pesawat MH370, kata sumber.

“Kami tidak ada sebarang maklumat tentang dakwaan pembunuhan konsul kehormat ada kaitan dengan MH370. Kami dimaklumkan tentang kematiannya oleh isteri beliau. Beliau konsul kehormat dan bukan rakyat Malaysia,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan.

Sumber itu menambah Wisma Putra setakat ini tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak berkuasa Madagascar dan tiada maklumat apakah pihak berkuasa di sana menyiasat kematian itu sebagai satu kes bunuh.

Pencari serpihan pesawat MH370, Blaine Gibson sebelum ini memberitahu Airlineratings.com, sebuah laman web berkaitan industri penerbangan, kematian Houssenaly Zahid Raza di Antananarivo, Madagascar pada 24 Ogos lalu ada kaitan dengan kehilangan MH370.

Dia juga mendakwa dirinya dan beberapa yang lain yang sama-sama mencari serpihan pesawat hilang itu ada menerima ugutan bunuh.

Menurut Blaine, dia sebetulnya mahu menyerahkan beberapa serpihan yang baru ditemui kepada Raza sebelum kematiannya pada 24 Ogos itu.

Kementerian Pengangkutan Malaysia tidak dapat dihubungi untuk sebarang komen.

Laman web berita BBC Afrika sementara itu melaporkan Raza, yang berketurunan India-Pakistan, ditembak mati dengan tiga das tembakan oleh lelaki bermotosikal yang tidak dikenali.

Dia ketika itu berada dalam sebuah kereta di luar pejabat kedutaan India di Antananarivo.

Laporan berita itu menyebut pembunuhnya melarikan diri meninggalkan lokasi kejadian sejurus melepaskan tembakan.

BBC Afrika juga memetik sumber mengatakan apa yang berlaku adalah balas dendam antara puak dalam komuniti India-Pakistan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada 29 Ogos lalu merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Raza. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.

Kenyataan Wisma Putra itu tidak menyebut apa-apa tentang sebab kematiannya, dan tidak juga membayangkan apa-apa tentang pembunuhan.

“Raza seorang yang dihormati dan ahli perniagaan terkenal di Madagascar,” kata kenyataan itu.

Kerajaan Malaysia melantik beliau atas kedudukannya itu sebagai konsul kehormat Malaysia ke republik itu selama tiga tahun bermula Disember 2013. Atas prestasi cemerlangnya, khidmat beliau disambung untuk sepenggal lagi sehingga Disember 2019.

– https://www.themalaysianinsight.com

.