Wisma Putra: Dr Fauziah selamat, telah dibebaskan

PUTRAJAYA – Wisma Putra mengesahkan satu-satunya rakyat Malaysia di atas kapal Zaytouna-Oliva ke Gaza, Dr Fauziah Mohd Hassan, yang ditahan pihak berkuasa Israel Rabu lepas, adalah selamat dan telah dibebaskan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata atas permintaannya, Dr Fauziah, 59, akan menaiki penerbangan dari Tel Aviv, ke Bangkok.

“Kementerian Luar mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang melahirkan rasa bimbang dan sokongan mereka dalam perkara ini,” kata kenyataan itu.

Sepuluh aktivis wanita termasuk Dr Fauziah dan tiga anak kapal, yang dalam pelayaran menuju ke Semenanjung Gaza dalam misi ‘Women’s Boat to Gaza’ (WBG), ditahan pada 2.58 petang waktu tempatan (8.58 malam waktu Malaysia) di pelabuhan Ashdod, Israel.

Perjalanan mereka bermula pada 14 September dari pelabuhan Vell di Barcelona dan berhenti di Ajaccio, Perancis pada 19 September 19 selepas pusingan pertama sebelum belayar ke Messina, Itali untuk pusingan kedua.

– Bernama

.