WARKAH DARI PAKATAN HARAPAN KEPADA AGONG

SHAH ALAM – Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini menyembahkan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V untuk membawa ke perhatian baginda mengenai beberapa perkara.

Dalam satu kenyataan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan Datuk Dr Mujahid Yusof dikeluarkan mengenai perkara tersebut.

“Antara perkara yang ingin membawa ke perhatian Tuanku ialah isu perlantikan semula jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan dan perlanjutan semula jawatan Ketua Hakim Negara yang akan berkuat kuasa dua hari lagi.

“Didapati isu perlantikan jawatan tersebut adalah mencabuli Perlembagaan Persekutuan dan sekiranya tidak ditangani segera, akan mewujudkan satu krisis kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan bersama tersebut.
Terdahulu, Tan Sri Md Raus Sharif akan menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini menyatakan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh dua tahun mulai 28 September ini, pula memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan bermula tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang juga hakim tambahan, dibuat mengikut Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya lagi, dibawah perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, cuma Tuanku yang boleh membuat rujukan permasalahan Perlembagaan  untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Justeru, kesemua kami yang mewakili keempat-empat parti gabungan dalam Pakatan Harapan menyeru agar Tuanku melaksanakan budi bicara Tuanku untuk membuat satu rujukan ke Mahkamah Persekutuan berkenaan soalan sama ada perlantikan semula itu sah atau tidak.

“Ini adalah untuk menjamin Tuanku dapat memelihara keluhuran Perlembagaan Malaysia daripada dicemari, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya lagi.

– SH

.