WARISAN ADAKAN SIRI JELAJAH WALAU PEMIMPINNYA DISIASAT SPRM

PRESIDEN Parti Warisan Sabah Shafie Apdal dijangka akan memulakan beberapa siri jelajah minggu depan walaupun beberapa pemimpinnya disiasat kerana rasuah.

Shafie di antara 11 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan penyalahgunaan dana Persekutuan untuk projek luar bandar Sabah berjumlah RM1.5 bilion antara Oktober dan November tahun lalu.

Turut ditahan ialah Naib Presiden Warisan Peter Anthony dan Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman.

Ketiga-tiga mereka mereka masih diikat jamin apabila SPRM menahan semula Anthony dan mahkamah membenarkan beliau ditahan selama tiga hari atas dakwaan pembabitannya dalam pembelian tanah ladang kelapa sawit bernilai RM155 juta di daerah Tongod.

Pada Mac 2016, Risda membuat laporan polis terhadap firma guaman Michael Ubu, Michael UBU & Co, kerana melanggar perjanjian urus niaga tanah membabitkan RM15 juta.

Difahamkan Anthony membantu pembelian tanah itu namun ia gagal selepas status tanah adat tidak boleh ditukar dan Risda menuntut untuk wang pendahuluan itu dikembalikan, sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian urus niaga jual beli tanah berkenaan.

Wang itu merupakan bayaran pendahuluan 10% untuk RM155 juta bagi pembelian tanah 2,428 hektar di Sungai Pinangah dan Sungai Labau di Tongod yang dibuat pada Julai 2014 dan firma guaman Ubu dilantik oleh Risda untuk melihat urus niaga tersebut.

Menurut Timbalan Presiden Warisan Darell Iking, Shafie akan terus mengekalkan momentum parti walaupun terganggu dengan siasatan SPRM.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.