WARGA KOTA TAK SEKATA ISU POLISI KEK HALAL MCD

Warga kota ditemuramah Malaysiakini berbeza pandangan mengenai peraturan rantaian makanan segera popular, McDonald yang hanya membenarkan kek hari jadi halal yang disahkan.

Walaupun beberapa pihak mempersoalkan mengenai sama ada praktikal untuk mengenakan peraturan sedemikian, ramai juga yang berkata rakyat Malaysia bebas untuk memilih tempat untuk mengadakan majlis hari jadi jika tidak bersetuju dengan peraturan tersebut.

Zamzuri Ismail, 29 berkata, McDonald telah ‘cukup bertimbang rasa’ untuk membenarkan para pelanggan membawa kek hari jadi dari luar selagi ia disahkan halal.

“Susah sangatkah nak ikut? Jika tidak berpuas hati dengan hal ini, maka boleh buat majlis hari jadi di tempat lain, ” kata beliau yang merupakan jurutera mekanikal.

Bersetuju dengan pendapat tersebut, Mariah Kasmira Hamidi, 31 berkata, McDonald mempunyai hak untuk menentukan polisi perniagaan sendiri.

“Ia adalah polisi mereka untuk tidak membenarkan makanan luar dibawa masuk, jadi membolehkan kek dari luar sudah cukup baik,” ujarnya.

Mariah turut mempersoalkan kekecohan mengenai perkara itu sedangkan McDonald Malaysia adalah entiti yang disahkan halal.

“Tiada siapa yang bising mengenainya tetapi apabila kek harus disahkan halal, ia menjadi isu.

“Jika anda tidak suka maka jangan pergi ke McDonald, semudah itu bukan?,” kata beliau yang menjadi suri rumah sepenuh masa.

‘Salahkan Jakim’

Bagi Chris Ooi, 37, jika ada sesiapa yang perlu dipersalahkan dalam hal ini, ia adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bukan McDonald.

“McDonald hanya mahu mengekalkan pensijilan halal dengan memastikan semua makanan di premisnya adalah halal.

“Jadi, jangan menyukarkan hal ini – cari sahaja tempat lain untuk mengadakan parti hari jadi jika tidak berpuas hati dengan hal ini.”

– M’kini

.