WARGA CHINA BAKAL JADI CEO PROTON?

Khabar angin bertiup mengatakan Zhejiang Geely Holding bakal melantik warga China sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat kereta nasional, Proton.

Menurut laporan China Press yang memetik agensi berita China Xinhua, bekas timbalan pengurus besar Dongfeng Honda Engine Co Li Chunrong yang menyertai Geely 22 Ogos lalu bakal dilantik memegang jawatan itu.

Menurut laporan itu lagi, Li dibawa masuk ke Geely khusus untuk peranan itu.

Namun, kedua-dua Geely – pemegang 49.9 peratus saham Proton – dan Proton tidak mengesahkan khabar angin itu.

Jabatan Komunikasi Korporat Geely memberitahu China Press pihak mereka hanya akan mengeluarkan kenyataan berhubung CEO baru Proton pada waktu yang sesuai.

CEO Proton Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali juga enggan mengulas dakwaan itu.

Walaupun dengan pengalaman dalam industri automotif, laporan itu mendakwa Li kurang berpengalaman dalam operasi di negara luar, terutama berkaitan perkembangan ke pasaran antarabangsa.

Pada Mei lalu, DRB-Hicom menjual 49.9 peratus sahamnya kepada Geely.

Urusniaga itu juga menyaksikan syarikat automotif China itu menguasai 51 peratus pegangan dalam Lotus Advance Technology Sdn Bhd.

Pengerusi Geely Li Shufu sebelum ini berkata keutamaan mereka adalah untuk memulihkan Proton secepat mungkin.

Sebelum urusniaga itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan tidak akan campur tangan dalam setiap keputusan yang diambil Proton, namun menyifatkan usahasama dengan Geely adalah positif memandangkan syarikat itu berjaya memulihkan Volvo.

– M’kini

.