WANITA PUN BOLEH JADI CALON PERDANA MENTERI PH, KATA DR WAN AZIZAH

PRESIDEN PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pembangkang bersedia menamakan calon perdana menteri mereka daripada wanita.

Ketua pembangkang itu berkata, calon perdana menteri mereka juga belum dimuktamadkan memandangkan mereka mempunyai ramai calon yang layak.

“Belum (muktamad calon perdana menteri), kita memang ada ramai calon yang layak, dan kita lihat bagaimana faktor boleh menang, bersama faktor kita nak wanita, wanita boleh jadi calon perdana menteri, apa masalahnya,” katanya, ketika sidang media selepas pelancaran Wanita Pakatan Harapan di Kajang, hari ini.

Dalam permukiman yang diadakan PH akhir tahun lalu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah dicadangkan sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya mereka berjaya memenangi PRU14.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dapat diumumkan kerana PKR masih mahu membincangkan perkara itu pada peringkat parti, walaupun Bersatu, DAP dan Amanah menyokong tanpa bantahan.

Pengerusi PH, Dr Mahathir minggu ini bagaimanapun enggan menamakan calon perdana menteri mereka yang dipilih secara konsensus oleh Majlis Presiden PH sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata, ia hanya akan diumumkan dalam Konvensyen PH yang bakal bersidang di Shah Alam esok.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.