WANITA PAKATAN HARAPAN PERJUANG NASIB ISTERI PERTAMA

SHAH ALAM – Ketua Angkatan Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin menggesa agar satu mekanisme laksana poligami mesti berteraskan keadilan untuk semua khususnya para wanita yang terlibat.

Menurutnya, walaupun kebenaran isteri pertama bukan satu kemestian namun persetujuannya adalah satu syarat penting untuk menjamin kerukunan institusi kekeluargaan.

“Kebenaran daripada isteri pertama penting bagi memastikan hak-hak isteri pertama dan anak-anak seperti nafkah, kebajikan terjamin serta tidak diabaikan.

“Selain itu, satu undang-undang mesti digubal bagi memastikan lelaki tersebut mampu dari sudut kewangan dan kesaksamaan untuk mengahwini lebih dari seorang isteri,” katanya dalam satu kenyataan media, di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Sebelum ini, Exco Hal Ehwal Agama Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata negeri tersebut akan menyelaraskan undang-undang Syariah untuk hanya memaklumkan isteri pertama  jika suaminya berkahwin di luar negara dan persetujuan isteri pertama tidak diperlukan.

Undang-undang yang bakal digubal ini bagi memastikan perkahwinan kedua didaftarkan. Di samping itu, kerajaan negeri juga berusaha mengurangkan denda jika gagal mendaftarkan perkahwinan kedua iaitu antara RM300 hingga RM400 berbanding RM3,000 sebelum ini.

 

Sementara itu, Zuraida mewakili Wanita Pakatan Harapan menolak undang-undang yang menekan hak-hak wanita atas alasan remeh.

“Kami percaya terdapat langkah-langkah lain yang boleh digunakan untuk memastikan perkahwinan didaftarkan tanpa menggugat hak-hak wanita lain sekaligus memastikan undang-undang digubal selari dengan hukum syarie sedia ada.

“Keadilan dalam institusi wanita dan keluarga perlu diangkat dan dijaga agar wanita sentiasa dimartabatkan dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.

–¬†http://www.sinarharian.com.my/

.