Wanita buru Pokemon sampai buta

PADAH akibat buru Pokemon. Seorang wanita mengandung di Taiwan disahkan buta sementara, setelah mengikuti permainan itu untuk tempoh masa yang panjang.

Sebuah akhbar Taiwan melaporkan, pesakit wanita itu dipercayai mula minat memburu Pokemon sejak ia mula diperkenalkan di Taiwan awal bulan ini.

Difahamkan, pesakit berkenaan sebelum itu menerima rawatan di sebuah hospital di Taipei. Bagi mengelakkan kandungan bayinya terjejas, dia telah diberi sejenis ubat mata khas dan dibenarkan pulang berehat di rumah.

Menurut seorang doktor mata, sejak permainan Pokemon Go mula menjadi kegilaan ramai, beliau mendapati ramai orang datang ke kliniknya mengadu sakit mata.

“Jumlah pesakit yang datang ke klinik saya telah bertambah sekurang-kurangnya 20 peratus. Kebanyakan pesakit mata ini terdiri daripada kalangan orang muda. Mereka mengadu mata mereka agak letih dan kering.

“Inilah tanda-tanda akibat melihat skrin telefon bimbit dalam tempoh yang panjang tanpa berehat,” katanya.

Beliau memberi nasihat untuk mengelakkan masalah pada mata, tempoh paling berkesan untuk merehatkan mata ialah selama 10 minit setelah melihat skrin telefon bimbit lebih daripada 40 minit.

“Cara untuk merehatkan mata ialah memandang kawasan yang berada di luar lingkungan enam meter.

“Bagi yang mempunyai masalah mata kering, mereka perlulah menggunakan cecair ubat mata agar bebola mata berada dalam keadaan selesa dan basah,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pakar refleksologi berpendapat, banyak keburukan akan berlaku pada tubuh badan seseorang sekiranya memburu Pokemon untuk tempoh panjang tanpa berhenti.

“Leher akan rasa sakit sekiranya kerap tunduk melihat skrin telefon bimbit. Begitu juga pada lengan tangan akan rasa sakit dan pergerakan akan terbatas.

“Jika berlaku keadaan begitu, seseorang itu perlu berehat selama tiga hari. Dan jika keadaan masih tidak berubah, dia perlu segera mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital,” katanya.

Jiu Yi Yin mohon maaf

Kumpulan hip hop Taiwan, Jiu Yi Yi yang membuat penggambaran bersama penyanyi rap Namewee dalam video muzik kontroversinya yang didakwa menghina sensitiviti agama rakyat Malaysia mengakui kesilapan mereka dan sedia mohon maaf.

Ketika ditemui media Taiwan kelmarin, salah seorang ahli kumpulan itu, Choon Fong berkata, sebenarnya hasrat mereka ingin menggunakan video muzik yang bertajuk Oh My God itu untuk menyatupadukan kaum melalui agama.

“Bagaimanapun, kami mengakui video muzik itu ada berlaku kesilapan. Namun ia sudah terlambat untuk memperbetulkannya setelah ia telah disiarkan kepada umum.

“Kami mengakui kesilapan ini dan ingin mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Kumpulan hip hop itu sebelum ini melahirkan perasaan terkejut dengan tangkapan ke atas Namewee pada 21 Ogos lalu dan tidak menjangkakan ia akan menjadi satu isu yang serius.

“Kami berkunjung ke tempat-tempat itu termasuk sebuah masjid di Pulau Pinang untuk merakamkan video muzik di bawah arahan pengarah,” katanya.

Beri peluang kepada Gerakan

DAP tetap mampu terus menerajui pemerintahan kerajaan negeri Pulau Pinang pada PRU akan datang berdasarkan kajian yang dibuat, kata Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Memetik laporan Sin Chew Jit Poh, Siew Keong berkata, walaupun beliau menyedari DAP masih kuat di Pulau Pinang, namun pengundi di negeri itu perlu memberi peluang kepada Gerakan memenangi beberapa kerusi bagi mengimbangi kekuatan antara parti pemerintah dengan pembangkang.

“Pada PRU lalu, Gerakan telah bertanding 13 Dun dan tiga kerusi Parlimen di Pulau Pinang, namun kalah semua kerusi yang dipertandingkan.

“Saya harap pengundi di Pulau Pinang dapat memberi peluang sekali lagi kepada calon Gerakan pada PRU akan datang,” kata Siew Keong yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan. – Sinar Harian