WANITA BERHIJAB DISERANG PENYOKONG TRUMP

SEORANG ahli perniagaan menyerang kakitangan syarikat penerbangan beragama Islam di Lapangan Terbang Kennedy apabila menendang dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Rabeeya Khan.

Robin Rhodes yang berasal dari Worcester, Massachusetts tiba dari Aruba dan sedang menunggu penerbangan untuk pulang ke Massachusetts ketika beliau berdepan petugas yang memakai tudung itu.

“Presiden Donald Trump akan hapuskan kami semua,” demikian katanya kepada Rabeeya di Sky Club di Terminal 2 ketika petugas itu berada dalam pejabat utiliti lapangan terbang itu.

Rabeeya memberitahu polis, Rhodes berdiri di pintu pejabat utiliti dan bertanya sama ada di sedang solat, sebelum menumbuk pintu yang kemudiannya terkena belakang kerusi yang sedang diduduki Rabeeya.
Wanita berusia 60 tahun kemudiannya bertanya kepada Rhodes apa yang telah dia lakukan hingga menimbulkan kemarahan lelaki berusia 57 tahun itu, bagaimanapun ahli perniagaan itu mengakui wanita itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

Bagaimanapun, Rhodes seolah-olah tidak berpuas hati apabila melangkah ke dalam pejabat itu dan menendang kaki Rabeeya.

Apabila ada saksi yang cuba menenangkan Rhodes, lelaki itu beralih sedikit dari pintu pejabat itu, manakala mangsa berlari menuju ke arah kaunter penyambut tetamu kelab berkenaan.

Rhodes mengekori Rabeeya sebelum melutut dan menunjukkan pergerakan umpama umat Islam sedang bersolat sambil berteriak:”Trump ada di sini sekarang. Dia akan hapuskan kamu semua. Kamu boleh tanyakan Jerman, Belgium dan Perancis mengenai mereka ini dan baru kamu tahu apa akan berlaku.”

Rhodes yang ditahan telah dihadapkan ke mahkamah pada Khamis kerana menyerang dan membuat ancaman bersifat kebencian. Dia dikenakan ikat jamin AS$30,000.

Perbicaraan kes terhadap Rhodes ditetapkan pada 8 Februari ini.

– Mstar

.