WAN JI MAHU GILAP IMEJ ISLAM DAP

PULAU Pinang patut menjadi pusat usaha memperbetulkan pemikiran melampau dalam kalangan umat Islam, kata pegawai penerangan kerajaan negeri yang baru dilantik, Wan Ji Wan Hussin.

Pendakwah muda itu percaya semakin kerajaan DAP yang mentadbir Pulau Pinang diserang oleh kelompok Melayu dan Islam yang berfikiran sempit, bertambah-tambahlah sesuainya ia menjadi pusat pembaharuan pemikiran itu.

Katanya, atas kedudukan itulah antara sebab kenapa Pulau Pinang yang diangggap sebagai sebuah negeri yang dikuasai oleh kaum Cina boleh menjadi tempat bercambahnya gerakan memperbaiki kerosakan yang dilakukan terhadap agama Islam itu sendiri.

“Islam boleh berkembang di Pulau Pinang dengan hujahan, dan bukannya dengan kekuasaan.

“Inilah yang menjadikan Pulau Pinang tempat yang sesuai untuk memerangi idea melampau dan keganasan, yang sudah mempengaruhi pemikiran umat Islam.

“Saya berhasrat mahu menubuhkan sebuah institusi yang membanteras ekstremisme dan sebuah lagi institusi untuk maqasid syariah di Pulau Pinang,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight di Komtar.

Wan Ji mengingatkan negeri yang ditadbir oleh DAP itu memberi ruang kepada Islam berkembang dan menghalang orang daripada aliran yang berbeza berbincang tentang agama.

Tetapi sebagai satu-satunya parti yang didominasi oleh etnik Cina dalam gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH), biarpun ia giat berkempen menarik penyertaan orang Melayu sebagai ahli, parti ideologi demokrat sosial itu terus dituduh anti Melayu dan cauvinis Cina.

Islam untuk semua

Wan Ji yang mengangkat sumpah jawatannya pada Khamis lalu berkata beliau berhasrat menonjolkan agenda Islam yang memberi manfaat kepada anak semua bangsa, dan bukan hanya orang Melayu di Pulau Pinang.

Katanya, beliau percaya urusan agama jadi begitu bermasalah di negara ini kerana ia dicampur aduk dengan identiti kaum, sehingga orang Melayu melihat orang bukan Melayu dan bukan Islam sebagai “orang lain”.

“Saya sedang mengusahakan sebuah artikel mengenai ‘aparteid bersyariah” apabila orang mendiskriminasi berdasarkan agama. Kita ada sindrom ini dalam kalangan orang Islam di Malaysia, menggunakan syarikat sebagai alasan untuk mewujudkan kasta.

“Pada masa lalu, semua kaum boleh makan dan minum bersama di kedai kopi Cina. Di Sabah masih ada tetapi di Semenanjung sudah jarang,” katanya.

“Masyarakat kita sudah jadi terlalu prejudis antara satu sama lain, malah antara sesama orang Islam kerana politik.

“Kita tidak perlu petik al-Quran, tetapi kalau kita menonjolkan kedamaian dan keadilan, kita sudah melakukan sesuatu yang bersifat Islam.

Wan Ji mengingatkan sejarah Pulau Pinang yang pernah ada tokoh-tokoh Islam progresif seperti penulis dan reformis Syed Sheikh Syed Ahmad Al-Hadi.

Beliau yang lebih terkenal sebagai Syed Sheikh Al-Hadi berpindah dari Melaka ke Pulau Pinang untuk memajukan kerjaya dalam sastera dan kewartawanan, dan mengembangkan pendidikan Islam.

Beliau mengasaskan Madrasah Al-Mashhoor yang terkenal kerana mengajar subjek bukan agama Islam dalam bahasa Inggeris serta menggalakkan pemikiran pembaharu.

“Jadi kalau musuh PH menjadi Pulau Pinang sebagai sasaran serangannya menggunakan agama, maka Pulau Pinang adalah tempat terbaik untuk kita mulakan usaha memperbaiki kerosakan itu,” kata Wan Ji.

DAP mesra Islam

Sebagai pegawai penerangan, tugas Wan Ji ialah membetulkan kepercayaan bahawa DAP itu anti Melayu dan anti Islam — tuduhan yang selalu dilemparkan oleh musuh politiknya. Beliau juga bertanggungjawab menjelaskan dasar-dasar kerajaan Pulau Pinang bersabit Islam kepada orang Melayu.

Wan Ji yang juga ketua biro agama Pemuda PKR berkata beliau menerima arahan daripada parti untuk ke Pulau Pinang bagi membantu kerajaan negeri PH.

“Saya diarahkan oleh naib presiden parti, Nurul Izzah Anwar untuk datang ke Pulau Pinang. Arahan itu datang daripada yang lebih atas, daripada (pemimpin de facto parti) Anwar Ibrahim.

“Saya diminta untuk membawa agenda Islam ke Pulau Pinang. Ini sesuatu yang besar bagi PKR. Anwar melihat nilai-nilai Islam sebagai satu keutamaan.

“Satu lagi sebabnya ialah DAP ini sudah jadi karung tinju kepada musuh politik PH yang asyik menghentam pakatan ini dengan isu-isu agama,” kata lulusan Al-Azhar ini yang kini sedang membuat kajian di Universiti Malaysia Kelantan mengenai keganasan dalam Islam.

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) bercakap dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semasa majlis perasmian gelanggang futsal di Guar Perahu pada 24 September lalu. Kerajaan negeri sentiasa berusaha memberi perhatian kepada masalah dan pembangunan agama Islam serta kaum Melayu di sana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2017.
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) bercakap dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semasa majlis perasmian gelanggang futsal di Guar Perahu pada 24 September lalu. Kerajaan negeri sentiasa berusaha memberi perhatian kepada masalah dan pembangunan agama Islam serta kaum Melayu di sana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2017.

Lim Guan Eng dan Islam

Menurut Wan Ji, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP, tidak pernah ada masalah dengan orang Melayu atau Islam, walaupun beliau dituduh macam-macam.

“Beliau berminat hadir ke majlis-majlis Islam dan Melayu tetapi penentang beliau tidak benarkan,” katanya.

Jelas Wan Ji, di bawah kepimpinan Lim, sejak pembangkang mengambil alih kerajaan Pulau Pinang, ia telah membelanjakan RM457.05 juta untuk pembangunan Islam, berbanding RM249.09 yang dibelanjakan oleh Barisan Nasiional (BN) antara 1999 hingga 2007.

Untuk pendidikan, kerajaan PH membelanjakan RM57.64 juta bagi sekolah agama. BN hanya RM20.11 juta antara 1999 hingga 2007.

Bantuan kepada guru agama pula mencecah RM15.55 juta.

Dari segi pembangunan ekonomi pula, pinjaman mikro yang diagihkan berjumlah RM11.17 diterima oleh 2,540 peminjam, yang 83% daripadanya orang Melayu.

Angka-angka itu saja menunjukkan kerajaan Pulau Pinang di bawah DAP tidak pernah mengabaikan Islam, kata Wan Ji.

“Barangkali kelemahan kerajaan Pulau Pinang ialah mengeluarkan idea dan mengembang dan membesarkan institusi Islam sedia ada,” katanya, merujuk kepada beberapa yayasan dan majlis yang tidak aktif.

“Secara peribadi, saya rasa dengan idea dan orang yang betul, Pulau Pinang menyaksikan pertumbuhan Islam yang lebih baik berbanding negeri lain termasuk Selangor. Pulau Pinang tidak sekat orang daripada aliran yang berbeza untuk berbincang tentang agama.”

Wan Ji sendiri pernah berdepan masalah dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika jadi AJK Dewan Ulama PAS Selangor dan kemudian apabila ditahan kerana didakwa mengadakan usrah di sebuah surau di Petaling Jaya.

Beliau juga pernah ditahan kerana pada Februari 2015 kerana mengajar tanpa tauliah di sebuah surau di Shah Alam.

Menurut Wan Ji, walaupun kempen propaganda Umno dan PAS mempengaruhi sentimen orang Melayu di Pulau Pinang tetapi secara umumnya orang Melayu gembira dengan kerajaan negeri.

Katanya, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berjumpa dengan guru sekolah agama rakyat dalam satu majlis minggu lalu mendengar sendiri pujian guru-guru agama itu tentang bagaimana kerajaan PH berbeza dengan kerajaan BN, dan lebih baik.

Wan Ji menceritakan pengalamannya mendengar seorang ahli PAS yang kagum dengan kerja pantas Lim menyelesaikan isu tanah perkuburan Islam di Permatang Pauh.

“Saya pergi masjid dan dengar orang puji Guan Eng kerana dia selesaikan isu tanah kubur di Seberang Jaya yang penuh dan perlu tanah baru.

“Kerajaan negeri beri sebidang tanah dekat masjid Bandar Perda dan kelulusan tanah itu diberikan segera. Seorang ahli PAS, yang mengendalikan isu itu, memujinya walaupun dia bukan minat dengan Guan Eng.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.