WAN AZIZAH LAYAK JADI PERDANA MENTERI

GEORGETOWN – Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) berpandangan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail layak dilantik sebagai perdana menteri ataupun ketua menteri.

Pengerusinya, Chong Eng berkata, ia kerana tiada undang-undang yang memperuntukkan bahawa wanita tidak boleh menjawat mana-mana jawatan di peringkat tertinggi pentadbiran kerajaan.

“Kita nak beri kesedaran bahawa persepsi ini harus diubah kerana zaman sekarang sudah tidak sama. Kita perlu beri kesedaran bahawa wanita sekarang sudah boleh pergi ke sekolah dan mampu bekerja.

“Kita harus beri peluang yang sama kepada wanita untuk bekerja dan jangan beri tanggungjawab hanya mengikut jantina. Misalnya mungkin dulu wanita tidak dapat buat, tapi sekarang mereka boleh laksanakannya dan mungkin lebih baik,” katanya.

Menurutnya, banyak lagi jawatan yang belum pernah di sini oleh wanita terutama di peringkat pembuat keputusan yang penting di jawatan-jawatan tinggi.

“Wanita sekarang boleh buat kerja misalnya tugas perdana menteri, ketua menteri dan menteri-menteri yang penting. Banyak negara yang melantik wanita menjadi menteri luar dan menteri pertahanan, tapi Malaysia belum ada lagi buat masa ini,” katanya.

Jelasnya, keraguan terhadap kebolehan wanita itu timbul kerana masyarakat tidak pernah melihat seorang wanita menjawat jawatan terpenting dalam peringkat tertinggi.

“Dalam peringkat pembuat keputusan ini kurangnya penglibatan golongan wanita, maka masyarakat tak biasa dan tak yakin,” katanya.

– Sinar Harian

.