WALAU NAMPAK MACAM BERJAYA, PAS SEKADAR PERKAKAS SAJA

Pengakuan Presiden MIC, Dr. S Subramanian bahawa pembentangan usul pindaan Akta 355 tanpa perbahasan dan pengundian oleh Hadi Awang di Parlimen semalam merupakan keputusan mesyuarat BN yang dicapai pada 29 Mac lalu, menyerlahkan lagi sandiwara yang dipentaskan sebenarnya sudah lama disiapkan skrip dan jalan ceritanya.
Bermakna juga, tindakan Speaker Parlimen, Pandikar Amin Haji Mulia menangguhkan sidang seawal jam 4.00 petang adalah sesuatu yang dirancang dan sekadar mengikut arahan.
Ia dengan sendirinya memperakukan bahawa yang merancang segala-galanya ialah BN dan Pas yang menjadi perlaksana hanyalah perkakas saja.
Tidak mungkin Pas tidak tahu atau tidak diberitahu mengenai semua perancangan yang berlaku itu.
Sebab itu, di sebalik sekian ramai yang mengecam keputusan Speaker menangguhkan perbahasan ke sidang Parlimen akan datang dan menjadikan isu Akta 355 terus tergantung untuk dijadikan bahan geli-gelian buat rakyat, dua pemimpin Pas tanpa sembunyi memberikan penghargaan kepada Pandikar.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan mengucapkan terima kasih kepada Speaker kerana sudi memberi laluan kepada Akta 355 diusulkan untuk pindaan oleh Hadi, selain menganggap tindakan menangguhkan sidang adalah keputusan yang tepat.
Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz pula lebih dahsyat pujiannya dengan mendoakan Pandikar diberikan ganjaran tertinggi oleh Allah kerana membenarkan usul persendirian itu dapat dibentangkan akhirnya.
Berhubung tindakan Pandikar menangguhkan sidang, Nik Abduh hanya menyifatkannya sebagai kesilapan yang kurang 10 peratus nilainya, berbanding 100 peratus ketepatannya memberi laluan kepada usul tersebut dibentangkan oleh Hadi.
Mungkin kita banyak mendengar Pas bergembira dengan kejayaan usul persendirian Hadi itu berjaya dibentangkan, walaupun belum dibahaskan, belum tentu melalui proses pengundian dan belum pasti juga lulus untuk seterusnya diambil alih oleh pihak kerajaan, yang sebenar-benarnya menang ialah parti-parti komponen BN.
Sebagaimana mereka berjaya memaksa Najib membuat pusingan U daripada menjadikan pindaan Akta 355 sebagai usul kerajaan, parti-parti komponen BN sekali lagi berjaya membuatkan apa yang dibentangkan Hadi melalui usul persendirian sekadar sandiwara dan mainan saja.
Ia hanya untuk menyeronokkan Pas sambil mengikat sebelah kakinya untuk sentiasa menari bersama rentak UMNO dan BN, sedangkan hakikatnya Najib sedar beliau tidak mungkin membiarkan usul itu diluluskan kerana parti-parti komponen BN masih kekal dengan ugutan untuk meninggalkan kerajaan kiranya ia sampai ke tahap sedemikian.
Tahniah dan syabas kepada Pas, bukan saja kerana sedia jadi alat dan perkakas kepada Najib, UMNO dan BN, tetapi juga sebab merelakan agama ditunggang dan dipermain-mainkan untuk kepentingan politik dan kuasa, walhal yang akhirnya memeluk trofi kemenangan ialah MCA, MIC serta Gerakan.
ShahbudinHusin