WALAU MIRIP DAN INGIN KALAHKAN UMNO, PPBM TAK HARUS JADI MACAM UMNO

KUALA LUMPUR 08 DECEMBER 2015. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Perwakilan UMNO bergambar pada Majlis Taklimat Presiden UMNO di PWTC. NSTP/Aizuddin Saad

Ketika ini PPBM sedang giat mendaftarkan ahli-ahlinya di seluruh negara. Penyelaras di peringkat negeri turut sudah dilantik, begitu juga wakil di peringkat bahagian-bahagian.

Pendaftaran secara dalam talian pula dijangka akan beroperasi pada minggu hadapan. Dalam masa yang sama, difahamkan 200 ribu borang keahlian yang dicetak pada peringkat pertama sudah pun kehabisan dan terpaksa diulang cetak.

Di Kuala Lumpur, pada hari pertama pendaftaran saja, sebanyak 9000 borang telah diambil. Di mana-mana, tergambar ramai yang teruja dan tidak takut-takut untuk menyertai PPBM.

Di Rembau saja, difahamkan seramai 2150 ahli baru PPBM dapat didaftarkan pada hari pertama pendaftaran.

Di media sosial pula, ternampak begitu meriah dan ceria wajah-wajah yang mendaftar sebagai ahli PPBM. Sebahagian besarnya adalah bekas ahli-ahli UMNO, ada yang pernah aktif di peringkat bahagian dan ada juga yang selama ini hanya merupakan ahli biasa saja.

Ramai kalangan profesional yang terdiri daripada akauntan, eksekutif bank, ahli perniagaan, doktor, peguam dan lain-lain turut mendaftar sebagai ahl PPBM. Ada di antara mereka adalah bekas ahli UMNO dan ada juga yang tidak pernah menjadi ahli-ahli mana-mana parti, tetapi sentiasa menyokong UMNO dan mengundi BN setiap kali pilihanraya.

Rata-rata mereka yang menunjukkan gambar masing-masing selepas mendaftar sebagai ahli PPBM, kelihatan amat bangga, cerita dan gembira dapat berbuat demikian. Barangkali ketika mereka menjadi ahli UMNO dahulu pun, perasaannya tidak sama seperti mereka menjadi ahli PPBM sekarang ini.

Dengan itu, tidak mustahil PPBM dapat mendaftar antara 350 ribu hingga 500 ribu ahli dalam tempoh dua tiga bulan ini.

Bangganya mereka menjadi ahli PPBM ialah kerana mereka yakin ia merupakan suatu sumbangan untuk menyelamatkan negara. Dengan hanya pendaftaran RM2, yuran keahlian juga RM2 untuk setahun atau RM100 bagi keahlian seumur hidup, kemungkinan Najib dapat disingkirkan, BN dapat dikalahkan dan negara dapat diselamatkan adalah lebih tinggi berbanding jika masih kekal bersama UMNO.

Oleh kerana PPBM mirip UMNO, bertujuan menyaingi UMNO dan untuk mengalahkan UMNO, maka tidak dapat dielakkan kebarangkaliannya majoriti ahli-ahli PPBM nanti ialah bekas ahli-ahli UMNO juga.

Begitu juga, pemimpin di peringkat pusat, negeri dan bahagian-bahagian, tidak mustahil sebahagian besarnya nanti turut merupakan bekas pemimpin-pemimpin UMNO. Keadaan itu memang sukar dielakkan kerana mereka memang lebih berpengalaman, memahami politik dan ada kelebihan tertentu berbanding sesiapa yang tidak pernah terlibat secara langsung dalam politik.

Bagaimanapun, oleh kerana PPBM ingin menyaingi dan mengalahkan UMNO, mereka harus menjadi lebih baik berbanding UMNO. Tidak semua bekas pemimpin UMNO, apabila menyertai PPBM, mesti diberikan jawatan, kedudukan dan keistimewaan dalam parti.

Tidak semua juga, di antara mereka itu harus diberi peluang bertanding dalam pilihanraya umum akan datang mewakili PPBM. Peranan bekas-bekas pemimpin UMNO dalam PPBM lebih baik hanya untuk menguat dan memperkukuh PPBM berdasarkan pengalaman dan ilmu politik yang mereka semata-mata. Mungkin dengan kedudukan mereka dapat menarik lebih ramai meminati PPBM.

Namun, peluang memang jawatan dan bertanding mesti lebih banyak diberikan kepada golongan profesional tempatan yang ada nama, dikenali ramai, berwatak baik dan memiliki ciri-ciri kepimpinan yang boleh diterima umum.

Jika pun bekas-bekas pemimpin UMNO mahu diberi peluang bertanding semula atas tiket PPBM, koutanya tidak harus melebihi 30 peratus. Selebihnya mesti muka-muka baru dan profesional yang tidak pernah menjadi bertanding sebelum ini.

PPBM juga tidak harus meniru budaya UMNO yang meletakkan semua Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan lain-lain penjawat kanan sebagai keutamaan untuk dicalonkan bertanding dalam pilihanraya.

Jika ada ahli biasa atau dari kalangan ahli jawatankuasa yang lebih baik kedudukannya dalam masyarakat, berkelayakan serta lebih diterima, keutamaan haruslah diberikan kepada mereka itu. Pemegang jawatan dalam PPBM tidak seharusnya berkecil hati, merajuk dan mensabotaj ketika pilihanraya diadakan jika tidak dipilih untuk bertanding, lebih-lebih lagi yang pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini.

Semua pihak mesti sedar matlamat PPBM ialah untuk mengalahkan UMNO dan menyingkirkan Najib. Oleh itu, PPBM kena jadi lebih baik di mata rakyat. Untuk tampil lebih baik, berkorban atau sedia dikorbankan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Hanya dengan ada yang sedia berkorban, terkorban atau dikorbankan, barulah PPBM benar-benar mampu menampilkan calon yang lebih baik berbanding UMNO dan dengannya juga, kejayaan lebih mungkin dapat dicapai.

Walaupun PPBM adalah mirip UMNO, tetapi jangan jadi macam UMNO dan jangan juga sesekali meniru budaya UMNO.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.