‘WALAU MAKAN BABI, BELUM TENTU BIBIR NAJIS’, HARUSSANI ULAS ASING GELAS

PETALING JAYA, 11 Ogos — Mufti Perak membantah amalan sebuah sekolah di Selangor yang mengasingkan gelas murid Islam dan bukan Islam.

Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan sekolah di Hulu Langat itu boleh mendorong kebencian kepada Islam, lapor FMT.

“Ia tidak patut dibuat. Sepatutnya kita tahu hukum. Jangan kita terlalu ‘rigid’ sampai kita [menimbulkan] kebencian orang,” katanya.

“Tidak usah begitu. Islam cukup menjaga hubungan sesama manusia ini.”

Sekolah rendah itu meletak label pada gelas untuk murid Islam dan murid bukan Islam dekat mesin penyejuk air di sebuah blok bangunan di situ.

Foto gelas plastik itu tersebar mulai kelmarin dan mendapat kecaman pelbagai pihak.

Bercakap kepada portal itu, Harussani berkata amalan itu tidak berasas walaupun atas alasan bukan Islam mengambil makanan yang dianggap haram.

“Walaupun dia bukan Islam, walaupun makan babi, tidak bererti bibir dia itu najis,” katanya.

“Cawan (gelas) yang dipakai bukan Islam kita boleh pakai.”

Mufti popular itu juga berkata tindakan sekolah itu tidak wajar dibuat kerana ia satu bentuk penghinaan kepada bukan Islam.

– Malay mail

.