WALAU DIGUGURKAN, NAIB PRESIDEN PAS TETAP BELA KHAIRUDDIN

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad yakin ADUN Paya Jaras, Khairuddin Othman akan kekal bersama parti itu meskipun beliau digugurkan daripada jawatankuasa perhubungan PAS Selangor sejak dua bulan lalu.

Menurut bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu, beliau mengenali Khairuddin sejak tahun 90-an, dan beliau bukan seorang yang mabuk jawatan serta ‘peminta sedekah’.

Katanya, walaupun tanpa menjawat apa-apa jawatan, Khairuddin akan terus memilih perjuangan Islam dan perjuangan rakyat bersama PAS.

“Saya yakin dia akan kekal bekerja walaupun tidak ada apa-apa jawatan di dalam PAS. Dia pernah melakukannya dan akan melakukannya lagi.

“Orang macam Khairuddin bukan mabuk jawatan… Dia bukan peminta sedekah, tetapi dia memilih perjuangan Islam, perjuangan rakyat,” tulis Iskandar dalam Facebooknya semalam.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Khairuddin digugurkan daripada jawatankuasa perhubungan PAS Selangor sejak dua bulan lalu selepas hanya kira-kira tiga atau empat bulan beliau dilantik.

Semalam, Khairuddin mendakwa pendekatannya yang ‘mesra’ dengan kerajaan Selangor serta tidak setuju dengan pertandingan tiga penjuru antara sebab beliau digugurkan daripada jawatan berkenaan.

“Tidak dinafikan, saya mesra dengan kepimpinan kerajaan Selangor kerana exco kita pun ada di sana (dalam pentadbiran).

“Saya cuma berpendirian di mana kerajaan Selangor yang ada hari ini perlu dipertahankan, jika tidak kita akan serah Selangor kepada Umno jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Bukankah ini mandat yang rakyat beri kepada kita pada penggal PRU 2008 dan 2013, malah menteri besar Selangor serta exco-exco PAS kita, telah pun membuktikan Selangor sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa dan lebih berbanding negeri-negeri yang lain,” kata Khairuddin.

Mengulas lanjut, Iskandar mengingatkan sesetengah pihak yang banyak menghentam ADUN penggal pertama itu.

“Saya masih ingat kita (kami) sama-sama turun ke Desa Hormat ketika penempatan itu hendak dirobohkan. Dia cuba menghalang bulldozer yang hendak merobohkan rumah-rumah di sana.

“Ketika itu mereka yang banyak menghentam YB hari ini masih berada di sekolah atau tadika.

Dia boleh jadi kaya jika menumpukan kepada kerjaya beliau sebagai seorang peguam,” kata Iskandar.

Khairuddin yang pernah berkhidmat di bawah sekurang-kurangnya tiga pesuruhjaya PAS itu sebelum ini beberapa kali diberi kepercayaan memegang jawatan setiausaha perhubungan PAS Selangor.

Penganalisis politik sering menyifatkan perpecahan dalaman PAS pada 2015 – yang membawa kepada pembentukan Parti Amanah Negara (AMANAH) – adalah disebabkan perbezaan pendapat berkenaan Pakatan Rakyat yang terjadi antara kumpulan ulamak dan profesional.

– M’kini

.