WAKIL RAKYAT PAS SELANGOR MANGSA ‘FITNAH JAHAT’, KATA TIMBALAN PRESIDEN

TIMBALAN Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan wakil rakyat parti itu di Selangor yang menurutnya menjadi mangsa “fitnah jahat” sehingga dituduh akan keluar parti.

Katanya, beliau sudah menemui wakil PAS terbabit yang dilihatnya tetap konsisten dengan parti walau terpaksa berdepan dengan pelbagai isu dalam kerajaan negeri.

“Saya telah saksikan sendiri bagaimana Adun PAS tetap beristiqamah dengan parti di dalam pelbagai isu yang melanda kerajaan Selangor. Mereka sangat tabah, sabar dan tetap patuh kepada keputusan parti.

“Saya telah menemui mereka yang difitnah ini, sama ada berceramah sepentas dengan mereka atau mengadakan perbincangan dengan mereka.

“Ingin saya tegaskan yang berita itu hanya fitnah jahat golongan terdesak untuk menyambung nyawa-nyawa ikan sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14),” kata Tuan Ibrahim tanpa menamakan pihak terbabit.

Dengan memetik satu hadis Nabi berkenaan bahaya fitnah, Tuan Ibrahim berkata golongan berkenaan menimbulkan dakwaan tersebut untuk memecah-belahkan PAS.

“Akibat kesabaran dan ketabahan mereka inilah wujud pihak yang dengki, iri hari dan berusaha mencetuskan api fitnah agar wujud rasa curiga antara satu sama lain, dan dalam kalangan ahli PAS,”  katanya.

Beliau meminta jemaah PAS untuk berwaspada menghadapi fitnah yang lebih dahsyat menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Marilah kita memberi fokus kepada persediaan PRU14 akan datang. Kerana inilah tugas utama kita sekarang.

“Jangan biar pihak-pihak yang sengaja mengganggu tumpuan kita dengan memainkan pelbagai isu fitnah,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden Iskandar Samad menyatakan kekesalan kerana jemaah parti tidak tampil mempertahankan barisan wakil rakyatnya di negeri itu yang didakwa akan berpaling tadah untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Iskandar kecewa kerana integriti wakil rakyat berkenaan, termasuk dirinya, dianggap begitu rendah kerana disangka akan melompat parti.

Iskandar dalam kenyataannya Sabtu lalu menafikan wakil rakyat tersebut akan keluar parti dan menyertai PKR dalam “gelombang kedua”.

Dua wakil rakyatnya, Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddi menyertai Amanah selepas digantung keahlian dalam PAS.

Kedua-dua wakil rakyat itu menyokong usaha politik “Langkah Kajang” yang digerakkan PKR untuk menggantikan Menteri Besar Khalid Ibrahim waktu itu dengan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

– https://www.themalaysianinsight.com

.