WAJAH SEBENAR PAS AKHIRNYA TERSERLAH

Makin dekat tarikh pilihanraya, wajah sebenar Pas kian terserlah dengan nyata.
Daripada mahu menubuhkan kerajaan sendiri bersama Gagasan Sejahtera, menjadi kuasa penentu atau “king maker”, Pas kini dengan nyata memperlihatkan wajah dirinya yang sebenar.
Tanpa berselindung lagi mereka menyatakan pilihan selepas PRU 14 akan datang hanya ada dua – bekerjasama dengan BN atau kekal sebagai pembangkang.
Tetapi, beberapa hari sebelum ini, Presiden Pas, Hadi Awang sendiri menyatakan Pas tidak mahu lagi menjadi pembangkang yang lemah selepas pilihanraya akan datang.
Maknanya, menjadi sebahagian daripada kerajaan memang  pilihan Pas dan untuk tujuan itu, Najib, UMNO dan BN adalah idaman kalbu parti Islam tersebut.
Sebaliknya, kekal sebagai pembangkang bukan lagi pilihan bagi Pas. Lagi pula, Pas sejak kebelakangan ini semakin merasai nikmat berdekat-dekat dengan kerajaan atau parti pemerintah.
Jika berdekat dengan kerajaan saja pun macam-macam nikmat dan syurga dunia dapat mereka nikmati, tentunya dalam hati pimpinan Pas ketika ini menggelegak perasaan tidak sabar-sabar untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Barangkali wajar diucapkan tahniah kepada Pas kerana awal-awal lagi telah menunjukkan kecenderungan kepada BN yang didalamnya ada MCA serta Gerakan yang bukan saja menentang hukum hudud, malah paling lantang menolak pindaan Akta 355 yang bertujuan memperkasa kedudukan mahkamah syariah.
Akhirnya, Pas sendiri menyerlahkan sandiwara mereka berkaitan Akta 355 itu.
Dengan pengakuan Pas mahu bekerjasama dengan BN ini juga memberi maksud mengundi Pas adalah sama seperti mengundi BN.
Meskipun ketika pilihanraya,  Pas dan BN berlainan parti, berbeza logo dan mungkin saling mengata antara satu sama lain, tetapi selepas pilihanraya berakhir, mereka akan saling bersama serta berdakapan untuk tujuan yang satu – mengekalkan lagi kerajaan kleptokrasi menghakis kekayaan dan memiskinkan negara ini.

Syabas kepada kepada Pas!!!

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.