VX DIJUAL KEPADA PENGGANAS?

WASHINGTON  – Seorang bekas diplomat kanan Amerika Syarikat (AS) mendakwa penggunaan agen saraf VX dalam pembunuhan Kim Jong-nam mening­katkan spekulasi Korea Utara turut menjual senjata yang sama kepada kumpulan pengganas termasuk al-Qaeda.
James Rubin yang juga bekas pembantu Setiausaha Negara AS dalam satu kenyataan yang disiarkan Politico memberitahu, Pyongyang mungkin terpaksa berbuat demikian bagi menangani krisis kewangan yang dihadapi ketika ini.

Rubin berkata, jika benar senjata kimia yang disenaraikan sebagai senjata pemusnah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu jatuh ke tangan pengganas, kesan yang lebih besar akan berlaku terhadap masyarakat dunia.
“Penghantaran VX yang dilarang penggunaannya oleh Konvensyen Senjata-Senjata Kimia dari Korea Utara ke Malaysia sebenarnya melanggar undang-undang antarabangsa kerana Korea Utara tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian di konvensyen berkenaan,” katanya seperti dilaporkan agensi berita Yonhap.

Agen saraf VX didakwa digunakan dalam kes pembunuhan Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Menurut Rubin, antara penyebab kepada krisis kewangan negara itu termasuk penggantungan pengimportan arang batu oleh China yang menjadi salah satu sumber utama pendapatan mereka.

Pada masa yang sama, al-Qaeda serta beberapa kumpulan pengganas lain pula berusaha untuk mendapatkan senjata pemusnah seperti VX sekali gus membuka ruang kepada Pyongyang memulihkan kewangan mereka.

Dalam perkembangan lain, Korea Utara didakwa sedang membangunkan peralatan canggih bagi mengintip rakyatnya yang menggunakan peranti mudah alih untuk berkomunikasi secara digital.

Dakwaan menerusi laporan bertajuk Compromising Connectivity yang dibiayai kerajaan AS itu menyebut, negara komunis terbabit tidak akan menyekat penggunaan telefon bimbit serta internet jika memperoleh maklumat berkaitan negeri-ne­geri di bawah pengawasan Pyongyang.

“Dengan memberikan peluang kepada rakyat untuk menggunakan teknologi seperti tablet dan telefon bimbit, Korea Utara boleh menapis kandungan yang tidak diingini serta memantau apa yang dilakukan rakyat menerusi peranti tersebut.

“Dalam hal ini, Korea Utara di­lihat bijak memanipulasi teknologi baharu,” kata Nat Kretchun, seorang penyelidik di InterMedia, sebuah organisasi berpangkalan di Washington yang menerbitkan laporan itu.

– BERNAMA/REUTERS

.