VIRAL KABINET BAYANGAN ZAHID KERJA BUDAK SEKOLAH

TANJONG KARANG – Penyebaran kabinet bayangan kononnya diedarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti yang tersebar di laman sosial Facebook dan aplikasi WhastApp disifatkan sebagai tidak matang.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno, Tan Sri Noh Omar berkata, penyebaran viral palsu itu tidak ubah seperti tindakan pelajar sekolah.

“Ini kerja kanak-kanak sekolah… siapa yang ambil serius,  saya rasa dia pun macam kanak-kanak sekolah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu penyebaran kabinet bayangan Ahmad Zahid di media sosial.

Barisan kabinet bayangan yang mula viral beberapa hari lalu itu menunjukkan nama Zahid sebagai Perdana Menteri diikuti Timbalan Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai Menteri Dalam Negeri.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, beliau yakin selepas ini lebih banyak senarai kabinet bayangan disebarkan di media sosial.

“Lepas viral kabinet Ahmad Zahid, akan keluar pula kabinet bayangan PKR, DAP dan Pas,” katanya.

Dalam pada itu, Noh menegaskan, Umno Selangor terus menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

“Apa jua ancaman kita akan sokong Datuk Seri Najib sepertimana kita menyokong Tun Mahathir (Mohamad) sewaktu ketika dulu.

“Di Selangor kita ada 22 bahagian Umno termasuk pemuda, puteri dan wanita, selain kita ada lebih 2, 000 cawangan yang akan tetap teguh menyokong kepimpinan Najib,” katanya.

Beliau turut mendesak agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pendiriannya terhadap DAP.

“Dulu dia (Mahathir) cakap DAP rasis…Mahathir  tanam semangat tu pada kita (ahli Umno).

” Tapi bila nak kuasa, dia cakap lain pula. Saya tak tahu sama ada dia nak tipu Umno atau tipu DAP,” katanya.

SINAR HARIAN

.