VIRAL BAKAR AL-QURAN: CARA LUPUS TIDAK IKUT PROSEDUR

PUCHONG – Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyebaran gambar pembakaran al-Quran secara terbuka di tepi jalan Kompleks Puchong Perdana yang viral di media sosial sejak tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu  kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat kira-kita 20 naskah al-Quran dibakar seorang wanita yang merupakan pemilik kedai menjual kitab agama dan pakaian di Kompleks Hijau, Puchong Perdana.

Tujuan pembakaran dilakukan didakwa kerana naskah Al-Quran tersebut rosak dimakan anai-anai dan tidak boleh digunakan lagi.

Mohammad Azlin berkata, ketika aktiviti pembakaran dijalankan, terdapat beberapa individu mengambil gambar dan menyebarkannya di akaun laman sosial.

Selepas perkara itu diviralkan, seorang ahli kariah Masjid As-Salam Puchong Perdana, bertindak mengambil kesemua sisa naskah al-Quran tersebut untuk melupuskan dengan cara yang lebih sempurna.

“Pembakaran naskah al-Quran dilakukan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Perbuatan itu tidak melibatkan cubaan mana-mana pihak dalam mempersendakan agama.

“Pembakaran yang dilakukan oleh pemilik kedai adalah semata-mata untuk tujuan pelupusan dan tidak berniat menghina mana-mana agama khususnya  agama Islam,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sesiapa membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.‎

SINAR HARIAN

.