VINCENT TAN: PENYUSUTAN RINGGIT BUKAN PERKARA NEGATIF

KUALA LUMPUR  – Malaysia menyediakan banyak peluang kepada pelabur sekalipun berdepan dengan pelbagai pandangan negatif dan dalam masa sama menyaksikan mata wang semakin menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat.

Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun berkata, sebalik­nya ia merupakan masa yang terbaik untuk membuat pelaburan memandangkan Malaysia boleh mencatat prestasi baik disokong oleh keadaan politik yang stabil.

“Saya yakin pelabur asing akan terus melabur di negara ini kerana ia telah menunjukkan mereka mendapat pulangan yang baik selama ini.

“Secara dasarnya, penyusutan ringgit bukan satu perkara yang negatif kepada Malaysia kerana sejak ringgit ditambat pada RM3.80 (sekitar 1998), selepas itu ia menyaksikan negara mampu mencatat lebihan dagangan hampir setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Persidangan Tertutup Peneraju Perniagaan Asia yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Presiden Times of India Group, Deepak Lamba.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bond Group of Companies, Anson Chan berkata, pihaknya sangat positif kepada perkembangan ekonomi Malaysia dan langkah Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengurangkan pengeluaran akan memberi impak yang baik kepada Petronas.

Beliau memberitahu, ini memberi keyakinan kepadanya untuk meninjau beberapa peluang pelaburan dalam sektor hartanah terutama di Kuala Lumpur.

“Saya percaya penyusutan ringgit berbanding mata wang serantau yang lain akan menjadi tarikan kepada pelabur antarabangsa dan secara keseluruhan melihat prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2017 adalah positif.

“Bagi rantau ASEAN pula, saya amat optimis dengan pasaran Vietnam, Malaysia dan Thailand kerana memiliki banyak faktor tarikan pelaburan yang strategik dan penting kepada pertumbuhan kumpulan pada masa depan termasuk kestabilan politik serta hubungan dagangan dengan negara Asia yang lain seperti Jepun dan Korea Selatan,” katanya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/penyusutan-ringgit-bukan-perkara-negatif-1.420353#sthash.hozEiRLY.dpuf

.