VIDEO ‘UFO’ DI RUANG UDARA KOMTAR JADI VIRAL

PETALING JAYA – Sebuah video yang menunjukkan kononnya objek terbang tidak dikenali (UFO) berada di ruang udara dekat bangunan Komtar di George Town, Pulau Pinang menjadi viral di media sosial.

Video berkenaan yang dimuat naik oleh Wang Soon You di Facebook menunjukkan dua objek putih terbang bersebelahan di atas Komtar.

“Kelihatan UFO di langit Pulau Pinang, adakah anda percayakan saya,” kata Soon You di Facebooknya, selepas memuat naik video pada pukul 1.05 petang Selasa.

Soon You turut memuat naik satu lagi video yang menunjukkan sekumpulan orang melihat ke udara di atas Komtar sambil memberi reaksi terhadap objek berkenaan.

Setakat pukul 10.40 malam Selasa, muat naik Soon You di Facebook dikongsikan sebanyak 4,558 kali dan ia menerima 160 komen daripada netizen.

Seorang pengguna Facebook, Shirley Sharine berkata, ia kelihatan seperti pesawat tentera, manakala Sharlynn Charlsharlynn Lim memberitahu ia mungkin sebuah dron.

Jimmy Chng berkata, ia mungkin DJI Phantom 4 quadcopter, tetapi seorang lagi pengguna Facebook mempersoalkan sama ada dron boleh mempunyai saiz begitu besar.

“Bolehkah dron terlalu besar? Saya juga melihat benda yang sama,” kata Lawrence Ooi.

– ANN

.