VIDEO KHALID SAMAD DISERANG DI LUAR PARLIMEN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad telah diserang oleh sekumpulan Pemuda Umno dari Bahagian Pasir Salak ketika memasuki kawasan Parlimen pada Khamis.

Khalid telah dikerumuni oleh 20 orang lelaki dan wanita, sebaik sahaja dia keluar dari keretanya yang bersebelahan dengan pintu masuk ke Dewan Rakyat.

Pergelutan fizikal berlaku, dan salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut cuba melepaskan tumbukan ke arah ahli parlimen pembangkang itu sebelum dilindungi oleh anggota keselamatan dan mengiringinya masuk ke dalam Parlimen.

Kejadian itu dipercayai berpunca apabila Khalid memanggil Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman ‘menteri sial’ pada persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu.

Ia berlaku selepas Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani itu menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai “satu-satunya wanita di sini bersama ‘Kok.”

Ahli Parlimen pembangkang  tersebut menganggap ucapan Tajuddin itu sebagai serangan dan bersikap seksis.

Sementara itu ketika di lobi Parlimen, Khalid mengakui kesal dengan kejadian tersebut dan berkata dia dan Tajuddin sepatutnya dibenarkan menyelesaikan masalah itu di mahkamah.

“Saya telah menerima surat desakan daripada Ahli Parlimen Pasir Salak. Saya menasihatkan kumpulan itu supaya membiarkan kami menyelesaikan masalah ini di mahkamah,” jelas  Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) yang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam pergelutan itu.

Tambah Khalid, dia telah diberi amaran oleh pegawai keselamatan mengenai sekumpulan yang menunggu untuk bersemuka dengannya di pagar Parlimen.

Sebelum itu kenderaannya telah diiringi oleh dua pegawai bermotosikal untuk ke Dewan Rakyat.

“Pihak keselamatan berjaya mengesan niat kumpulan itu dan memberi amaran kepada saya, tetapi saya memberitahu mereka bahawa akan  terus memasuki Parlimen kerana terdapat Rang Undang-Undang yang penting untuk dibahaskan hari ini,” katanya.

Beliau menambah, beberapa Ahli Parlimen pembangkang akan menemaninya dan selepas itu akan bertemu Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk melaporkan kejadian itu.

Dalam reaksi, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Ketua Pejabat Keselamatan Kerajaan (CGSO), yang bertanggungjawab dalam aspek keselamatan di Parlimen akan diberitahu supaya menyiasat pergelutan itu.

“Kami mahu tahu bagaimana kumpulan itu dapat memasuki kawasan Parlimen,” katanya kepada pemberita.

MSTAR

.