VIDEO DR MAHATHIR KENA TANGGUNGJAWAB KERUGIAN FOREX KINI VIRAL

SATU klip video menyalahkan Dr Mahathir Mohamad sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang tersebar di media sosial.

Tuduhan dibuat Ketua Penerangan Umno Annuar Musa dalam video berdurasi dua minit itu turut disertai beberapa kenyataan lain walaupun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang berlangsung membebaskan Dr Mahathir daripada sebarang pengetahuan mengenai kerugian itu.

Ketua Penerangan Umno Annuar Musa dalam video berdurasi dua minit itu mendakwa Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab terhadap kerugian forex Bank Negara Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2017.
Ketua Penerangan Umno Annuar Musa dalam video berdurasi dua minit itu mendakwa Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab terhadap kerugian forex Bank Negara Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2017.

Video itu menampilkan petikan ceramah Annuar dan sedutan kenyataan daripada Ketua Institut Kepimpinan dan Strategi Asia Ramon Navaratnam dan bekas penolong gabenor BNM Abdul Murad Khalid. Murad juga sudah memberikan keterangan di hadapan RCI.

Annuar berkata negara ini kehilangan RM32 bilion, iaitu sebahagian daripada rizab asingnya, ketika pentadbiran Dr Mahathir.

“Ketika saya jadi menteri, tiap-tiap hari Rabu bermesyuarat Kabinet, segala apa bendanya dibincang, yang rasmi dan tidak rasmi. Tapi hanya 20 tahun kemudian saya sebagai menteri baru tahu zaman saya Dr Mahathir pimpin, hilang RM32 bilion. Lesap begitu saja.

“RM32 bilion pada 1993 sama dengan RM100 bilion hari ini,” katanya dalam video itu.

Ucapan Annuar itu dibuat ketika jelajah pertama Umno; “Perjuangan for all, love, respect, unity” di Wangsa Maju pada 10 September.

Annuar, 59, ialah menteri belia dan sukan dari 1990 hingga 1993 dan menteri pembangunan wilayah dan luar bandar dari 1993 hingga 1999.

Bagaimanapun, pada persidangan RCI yang masih berlangsung, bekas menteri kewangan kedua Nor Mohamed Yakcop memberitahu panel yang Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim yang pada masa itu menteri kewangan, tidak dimaklumkan mengenai urus niaga forex BNM ketika ia mengalami kerugian besar.

“Saya tidak pernah pada bila-bila masa pada 1986 hingga 1993 berbincang dengan perdana menteri (Dr Mahathir) mengenai urus niaga forex yang dijalankan BNM,” katanya dalam 42 halaman kenyataannya.

Nor Mohamed, 70, turut memberitahu RCI yang Anwar juga tidak dimaklumkan mengenai urus niaga itu.

Dr Mahathir berkata beliau dimaklumkan kerugian sebanyak RM10 bilion dan menafikan tahu mengenai urus niaga BNM, berkata beliau hanya tahu apa yang dilaporkan kepada Parlimen.

Sementara itu, Ramon yang turut tampil dalam klip itu berkata “tak kan Kabinet tidak tahu kerana ia isu yang terlalu besar dan dengan andaian Kabinet tahu, mereka patut menghentikan perkara karut ini”.

Video itu diakhiri dengan mesej “Mahathir perlu bertanggungjawab”.

Annuar memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak boleh komen sama ada video itu diedarkan atau dikeluarkan oleh Umno tetapi mengesahkan beliau berucap dalam satu program di Wangsa maju.

“Saya tidak tahu sumber video itu,” kata Annuar.

Video itu pada mulanya dimuat naik di Facebook Rojak Malaya kira-kira jam 11.30 pagi semalam. Setakat ini, ia ditonton 375 kali dengan tujuh like.

– https://www.themalaysianinsight.com

.