VIDEO DR. M KUTUK 
KIT SIANG JADI VIRAL

KUALA LUMPUR  – Klip video berhubung ke­nyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengutuk dan membayangkan apa akan berlakunya sekiranya Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilantik sebagai Perdana Menteri menjadi viral di laman sosial.
Video berdurasi lebih seminit itu menunjukkan Dr. Mahathir tidak konsisten dalam menyatakan pendiriannya dalam politik sehingga sanggup bergabung dengan DAP semata-mata mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Video yang menjadi viral itu juga berbeza dengan tindakan Dr. Mahathir yang baru-baru ini sanggup menghadiri persida­ngan kebangsaan DAP dan memuji parti tersebut serta memburuk-burukkan UMNO dan MCA.

“Kalaulah Kit Siang menjadi Perdana Menteri, boleh anda ba­yangkan apa yang akan berlaku?

“Kalau dia mengisi semua jabatan kerajaan dengan orang Cina, apakah mereka tidak akan menggunakan kuasa untuk ke­pentingan mereka?” katanya.

Dalam video itu juga Dr. Mahathir turut menyatakan bahawa orang Cina pada masa ini sudah naik tocang kerana keinginan Melayu meraih sokongan daripada kaum tersebut.

“Kalau kita kaji sejarah kemerdekaan Malaysia, hari ini kuasa orang Cina lebih daripada kuasa mereka semasa kita mencapai kemerdekaan. Kalau dahulu, boleh dikatakan mereka tak boleh angkat muka tetapi sekarang mereka lebih berkuasa.

“Ini kerana orang Melayu asyik berperang sesama sendiri dan apabila berperang, mereka akan mencari orang Cina untuk suruh sokong. Mereka pun jadi naik tocang kerana kita hendak sangat sokongan dia,” katanya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/video-dr-m-kutuk-8232-kit-siang-jadi-viral-1.417611#sthash.5Xn57ssy.dpuf

.