VETERAN PKR SYED HUSIN BIMBANG ISU CALON PM PAKATAN DIDORONG AGENDA PERIBADI

TINDAKAN Pakatan Harapan (PH) terburu-buru mahu menamakan calon perdana menteri menyebabkan timbul tanggapan ia didorong “agenda peribadi”, kata seorang pemimpin veteran PKR.

Ahli Biro Politik PKR Dr Syed Husin Ali berkata, beliau hairan mengapa isu menentukan nama calon perdana menteri daripada PH menjadi begitu besar sekali.

“Kenapa perlu terburu-buru memutuskannya? Sekarang ini kelihatan seolah-olah soal menamakan nama calon PM paling penting sekali.

“Lebih buruk lagi sudah timbul pula anggapan semacam isu ini didorongkan oleh agenda peribadi,” kata bekas ahli Dewan Negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

The Malaysian Insight melaporkan hari ini Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim menangguhkan penetapan calon perdana menteri PH yang sepatutnya diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH semalam, kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, bekas pemimpin pembangkang yang dipenjarakan itu mahu PH mendapatkan maklum balas daripada kumpulan masyarakat dan aktivis sivil mengenai calon mereka sebelum membuat pengumuman.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight pada Disember lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, calon perdana menteri PH mesti diumumkankerana gabungan pembangkang itu sudah berjanji kepada rakyat mahu membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) yang memerintah sekarang.

Katanya, rakyat mahu tahu calon perdana menteri itu kerana hendak menilai kemampuan pemimpinnya menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh negara.

Syed Husin yang juga bekas timbalan presiden PKR berkata hari ini, matlamat utama membentuk PH ialah untuk menjana perpaduan serta kekuatan demi menegakkan keadilan bagi rakyat dan kemajuan bagi negara.

“Untuk mencapai ini perlulah diperjuang perubahan besar atau reformasi segala sistem dan institusi yang bobrok agar dapat ditegakkan yang lebih adil dan saksama.

“Nyata sekali matlamat perjuangan PH itu besar, jauh lebih besar daripada soal menentukan PM. Berhentilah membesar-besarkan isu PM ini,” kata Syed Husin.

Menurut Syed Husin, PH tidak seharusnya terburu-buru untuk memutuskan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

“Berilah masa yang cukup untuk mendengar suara rakyat seluasnya, sehingga pengumuman pembubaran Parlimen,” katanya.

Dalam pemukiman diadakan PH akhir tahun lalu, Dr Mahathir Mohamad dicadangkan sebagai calon perdana menteri, dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Kecuali PKR, cadangan itu dipersetujui oleh parti komponen PH yang lain – Bersatu, DAP dan Amanah.

Semalam Dr Mahathir yang merupakan pengerusi PH berkata, calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri hanya akan diumumkan semasa konvensyen gabungan itu Ahad ini.

– https://www.themalaysianinsight.com

.