VENDETTA POLITIK NAJIB AKAN BERTERUSAN

UNSUR political vendetta (balas dendam politik) dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kegiatan tukaran mata wang (forex) Bank Negara tahun 1970an terserlah apabila ia mengemukakan laporan pada 13 Oktober lalu dan disusuli oleh laporan polis pada 30 November.

 
Setiausaha RCI Dr Yusof Ismail buat laporan polis

Hakikat ia menuding jari ke arah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperkukuhkan niat politiknya.

[Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Cuma pengasas suruhanjaya itu, I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, dan konco-konconya gagal mencapai matlamat yang diharap-harapkan apabila tidak seorang pun saksi berjaya diugut untuk melibatkan Dr Mahathir dan Anwar.

Sebaliknya saksi lima bintang mereka, Tan Sri Nor Mohamed Yackop, merosakkan majlis suka ria mereka dengan menerima sepenuh tanggungjawab ke atas kerugian itu.

Bukti balas dendam mereka pantas dan jelas. Sebaik saja membuat testimoni yang tidak membabitkan Dr Mahathir, Nor Mohamed ditekan supaya meletakkan jawatan Timbalan Pengerusi Khazanah Malaysia Berhad.

Bagi Najib dan konco-konconya, Nor Mohamed adalah pembelot. Mana mungkin seorang pembelot terus menjadi pembantu kepada Perdana Menteri di dalam Khazanah. Najib adalah pengerusi Khazanah.

Dalam kapasiti itu, Najib amat berharap Nor Mohamed akan menuding jari ke arah Dr Mahathir. Apabila beliau tidak berbuat seperti yang diharapkan maka beliau tidak berguna lagi.

Tanpa testimoni menyalahkan Dr Mahathir dan Anwar, suruhanjaya itu tidak mempunyai pilihan melainkan membuat kesimpulan samar mengenai penglibatan mereka.

Untuk meneruskan vendetta mereka, laporan polis dibuat supaya Dr Mahathir dan Anwar disiasat kononnya bersubahat pecah amanah.

Mungkin dalam perkiraan Najib dan konco-konconya yang semakin tersepit dan terdesak, inilah cara terbaik untuk terus memburu Tun Dr Mahathir dan Anwar.

Mungkin beliau berpendapat bahawa adalah lebih berkesan menggunakan polis untuk membalas dendam berbanding RCI kerana dalam pandangan umum apabila polis terlibat ertinya jenayah telah dilakukan.

Persoalannya, adakah siasatan polis akan lebih meyakinkan rakyat jelata berbanding siasatan RCI setelah polis sendiri dimanipulasikan dalam kes siasatan ke atas 1MDB dan SRC International?

Siasatlah apa pun dan siapa pun namun kewibawaan dan niat kerajaan kleptokrasi Najib Razak akan terus dipertikaikan oleh majoriti rakyat jelata selagi skandal 1MDB-SRC yang melibatkan beliau sendiri disapu ke bawah permaidani.

Kebenaran tidak akan diperoleh selagi tangan-tangan hitam terus memulas dari belakang dengan memperalatkan agensi-agensi penguat kuasa dan kehakiman.

Mahkamah Kangaroo

Tetapi itu mungkin tidak penting bagi Najib dan konco-konco beliau. Yang peting ialah menggunakan suruhanjaya dan polis sebagai “kangaroo court” (mahkamah paslu) bagi membicarakan Dr Mahathir dan Abwar.

Tujuannya ialah dengan apa cara sekali pun Dr Mahathir wajib disekat daripada mengambil bahagian cergas dalam politik, khususnya dalam pilihan reaya umum (PRU) akan datang.

Seperti yang didedahkan, banyak dokumen bukti oleh Dr Mahathir tidak pun dimasukkan ke dalam laporan akhir RCI hatta sebagai lampiran sekali pun.

Namun saya rasa Dr Mahathir dan Anwar mengalu-alukan siasatan polis kerana mereka sekali lagi berpeluang mengemukakan bukti sambil membangkitkan jenayah berkaitan 1MDB dan SRC.

Silap-silap laporan polis itu akan jadi macam saman malu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terhadap pengarang Sarawak Report, Claire Brown, di mahkamah London.

Brown telah mengambil kesempatan mendedahkan bermacam-macam hal yang beliau tulis selama ini, termasuk pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya Shaariibuu, sebagai bukti dalam pembelaan diri.

Sepanjang mengenai Brown, kes saman Hadi itu memberikannya peluang untuk menceritakan kepada mahkamah negaranya apa yang beliau dengar dan tahu mengenai Najib dan konco-konco beliau, khususnya dakwaan sogokan RM90 juta kepada PAS.

– http://kadirjasin.blogspot.my

.