UTUSAN UMPAMAKAN MAJLIS PEGUAM SEPERTI SAYAP DAP

UTUSAN Malaysia mendakwa Majlis Peguam menyalahguna demokrasi untuk agenda politik dan kini tidak ubah seperti sayap politik DAP.

Tulisan pengarang lidah Umno itu antara lain membangkitkan mengenai sokongan Majlis Peguam kepada siri perhimpunan badan pemantau pilihan raya Bersih.

Ia turut menyebut mengenai kenyataan Majlis Peguam dalam kes rasuah yang dihadapi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Rakyat boleh menilai bagaimana Majlis Peguam kerap kali menyalahgunakan demokrasi untuk agenda politiknya. Malah Awang lihat Majlis Peguam tidak ubah seperti sayap politik kepada pembangkang terutama DAP.

“Hairan bagaimana badan guaman itu boleh menyokong himpunan haram Bersih, mempertahankan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak bercuti atau berundur selepas didakwa di mahkamah dan pelbagai kenyataan menyokong pembangkang,” kata akhbar itu.

Tulisan menggunakan nama Awang Selamat itu juga membandingkan Majlis Peguam dengan badan profesyen guaman di negara lain yang didakwa lebih profesional memihak dan adil.

“Anehnya di Malaysia, Majlis Peguam kita asyik bertindak mencemari badan guaman itu sehingga tidak lagi dipandang tinggi dan dipercayai rakyat. Memalukan,” kata pengarang itu dalam edisi hujung minggunya hari ini.

Tulisan itu muncul ekoran tindakan Majlis Peguam memulaukan majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2018 yang diadakan pada hari Jumaat lalu.

Satu laporan berasingan Utusan Malaysia berhubung pemulauan Majlis Peguam pada hari tersebut mendakwa ia antara lain membuktikan badan itu gagal menjadi teladan kepada pengamal undang-undang.

Laporan pada hari Jumaat itu memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said yang menyebut, alasan yang diberikan Majlis Peguam untuk memulaukan majlis itu tidak berasas.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan alasan oleh Majlis Peguam – bahawa badan itu memulaukan majlis kerana membantah sekatan Pejabat Ketua Hakim Negara ke atas kandungan ucapan yang ingin disampaikan presiden Majlis Peguam dalam majlis itu.

Presiden Majlis Peguam George Varughese menyifatkan sekatan tersebut sebagai “serangan” ke atas kebebasan badan peguam itu kerana dihalang untuk membangkitkan mengenai pelantikan dua hakim kanan.

Ucapan Varughese mendakwa pelantikan Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dan Zulkefli Ahmad Makunidin sebagai presiden Mahkamah Rayuan tidak mengikut Perlembagaan.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.