UTUSAN MINTA MAAF PADA GUAN ENG DI MAHKAMAH

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menang saman terhadap Utusan Melayu (M) Bhd susulan artikel di Utusan Malaysia pada 20 Ogos tahun lalu.

Utusan memohon maaf dalam penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang hari ini susulan penyiaran artikel bertajuk “Guan Eng tarik balik saman Shaik Hussein”.

Akhbar Umno itu juga akan memberikan pampasan kepada Lim, yang jumlahnya tidak didedahkan, susulan penyiaran artikel yang didakwa “diputar belit” itu.

Pegawai undang-undang Utusan Siti Norzulaikah Ibrahim membacakan permohonan maaf itu di mahkamah.

Permohonan maaf itu menyebut Lim telah menarik balik saman terhadap Shaik Hussein Mydin tiga tahun lalu selepas Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang itu sedia menarik balik dakwaan rasuah terhadapnya tanpa syarat.

Utusan meminta maaf atas kesilapan fakta dalam laporan itu.

Shaik Hussein mendakwa Lim terlibat amalan rasuah dalam satu rundingan tanah yang dinafikan keras setiausaha agung DAP itu.

Peguam Lim, Simon Murali, berkata permohonan maaf itu akan disiarkan di halaman kedua Utusan Malaysia dalam tempoh tujuh hari.

Lim sebelum ini tidak berpuas hati dengan laporan Utusan yang menyebut beliau menarik balik saman terhadap Shaik Hussein tanpa syarat.
“Sebenarnya saya lakukan tindakan itu selepas dia tarik balik dakwaan rasuah terhadap saya,” kata Lim kepada pemberita di luar mahkamah.

“Apabila Shaik Hussein tarik balik dakwaan rasuah terhadap saya, ia tidak dilaporkan Utusan Malaysia, saya gembira dapat bersihkan nama saya daripada dakwaan rasuah oleh pemimpin Umno.”

– UTUSAN

.