UTUSAN KATA RAFIZI MASIH TIDAK AMBIL PENGAJARAN

SUDAH tiba masanya naib presiden PKR Rafizi Ramli mengambil pengajaran daripada hukuman penjara kerana didapati bersalah membocorkan maklumat perbankan, kata Utusan Malaysia.

Menurut akhbar milik Umno itu, hukuman penjara 30 bulan tersebut adalah akibat daripada tindakan Rafizi yang terlalu ghairah membuat dakwaan tanpa tanggungjawab.

Tulisan pojok pengarang itu menyebut, kesannya amat besar jika maklumat perbankan tidak lagi dijamin kerahsiaan kerana sistem perbankan negara tidak selamat dan tidak lagi dipercayai.

“Inikah nilai seorang pemimpin politik yang sepatutnya menjaga integriti dan bukannya memudaratkan sistem perbankan dan ekonomi.

“Rafizi tidak boleh berselindung dengan alasan kononnya untuk menjaga kepentingan awam bagi mewajarkan perbuatannya melanggar undang-undang,” katanya.

Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan dan bekas kerani bank Johari Mohamad didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) berhubung kebocoran akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd.

NFC dimiliki oleh Mohamad Salleh Ismail, yang merupakan suami kepada ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

Laporan Ketua Audit Negara pada 2010 mendedahkan NFC gagal mencapai sasarannya untuk membiak 8,000 baka lembu di Gemas, Negeri Sembilan selain menyatakan kegagalan pengurusannya.

Pada 2011, Rafizi mendedahkan pembelian unit kondominium mewah oleh syarikat penternakan nasional itu.

Susulan itu, Salleh didakwa dengan empat tuduhan menyalahgunakan sejumlah RM49.7 juta daripada NFC pada tahun yang sama, tetapi kemudian dibebaskan daripada semua tuduhan.

Utusan turut menyarankan agar Rafizi menghormati keputusan dan mahkamah dan berhenti daripada menyalahkan pihak lain kerana perbuatannya.

“Sudah banyak kali beliau dibuktikan memfitnah, putar belit dan mentohmah sehingga jenama Rafizi dan partinya rosak teruk.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.