UTUSAN DAKWA PKR BANTAH MAHATHIR JADI PM

PKR dilaporkan membantah pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Akhbar Utusan Malaysia yang tidak menamakan sebarang sumber dalam laporannya berkata mesyuarat Majlis HARAPAN semalam gagal mencapai kesepakatan berhubung perkara berkenaan.

Lapornya, adalah difahamkan tiga parti iaitu DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) bersetuju memilih Dr Mahathir sebagai perdana menteri, namun dibantah PKR.

“Kegagalan mencapai kata sepakat itu menyebabkan mereka terpaksa membatalkan pengumuman calon perdana menteri pada konvensyen HARAPAN, Ahad ini.

“Perkara itu disahkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu.

“Kata beliau, Pakatan Harapan akan mengumumkan perkara itu sebelum PRU-14, sekali gus mewujudkan spekulasi pencalonan bekas Perdana Menteri itu sebenarnya tidak direstui oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” petik laporan itu.

Menurut akhbar milik Umno itu, PKR dikatakan masih berpegang kepada pendiriannya untuk melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Biro Politik PKR sebelum ini dikatakan bersetuju Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara dengan beberapa syarat.

Antaranya membebaskan segera Anwar dan melantik ketua umum PKR itu sebagai perdana menteri baru dalam masa enam hingga 12 bulan selepas HARAPAN mengambil alih kuasa.

Dr Mahathir sebelum ini, pernah menegaskan sama ada beliau akan menjadi perdana menteri atau tidak, bergantung kepada persetujuan keempat-empat parti dalam pakatan berkenaan.

– M’kini

.