UTUSAN, BH HARI INI HABIS DIJUAL, KHABARNYA ANNUAR MUSA PUNYA JASA

Semalam Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa membidas Menteri Besar Selangor, Azmin Ali atas tindakan kerajaan negeri Pakatan Harapan itu menghentikan pembelian akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk semua agensinya.

Kata beliau, tindakan itu adalah tidak bijak dan kebudak-budakan kerana kedua-dua akhbar berkenaan telah wujud sejak sebelum merdeka lagi bagi memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam dalam konteks negara berbilang kaum serta agama.

Hari ini, kedua-dua akhbar tersebut secara serentak memaparkan berita kemewahan hidup cucu Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad yang jelas dilihat sebagai tindakan terdesak dan bermotifkan politik kepartian bagi kepentingan UMNO dan BN.

Di manakah perjuangan untuk Melayu dan Islam dengan penyiaran berita seumpama itu?

Kenapa Utusan dan Berita Harian tidak menyiarkan sama berita kemewahan anak tiri Najib, Riza Aziz yang berjoli sakan dengan wang 1MDB jika benar ia akhbar dan seimbang dan berwibawa?

Tidakkah dengan melakukan serangan politik sempit ini hanya mewajarkan lagi tindakan yang telah diambil Azmin terhadap Utusan dan Berita Harian itu, malah seharusnya tindakan itu patut dibuat lebih awal lagi?

Namun demikian, di sebalik perkhabaran mengenai kekangan kewangan yang dihadapi oleh Utusan dan Berita Harian kebelakangan ini, siaran berita mengenai kemewahan cucu Tun Mahathir itu tentu saja menggembirakan Annuar kerana difahamkan beliau telah berjaya mengarahkan semua 3.2 juta ahli UMNO memborong akhbar berkenaan hari ini.

Esok lusa dan hari-hari seterusnya, bolehlah Utusan dan Berita Harian menyiarkan lagi kemewahan anak atau cucu pemimpin Pakatan Harapan yang lain pula secara berterusan tanpa henti.

Jika setiap hari dilakukan begitu, tidaklah ada lagi  kakitangannya yang lewat menerima gaji seperti sekarang ini.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.