‘Utamakan penjagaan kesihatan bukan JPM dalam Bajet 2017′

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengutamakan penjagaan kesihatan awam sebelum menyediakan dana untuk jabatannya sendiri dalam Bajet 2017.

“Najib perlu menetapkan keutamaan yang betul dalam Bajet 2017 akan datang kerana adalah menyedihkan untuk melihat di negara ini, PM yang mempunyai berbilion-bilion ‘derma’ dalam akaun bank peribadi tetapi pesakit dan keluarga mereka menderita,” kata Teo dalam satu kenyataan.

Teo berkata peruntukan untuk Kementerian Kesihatan pada 2015 adalah RM23.31 bilion, tetapi dikurangkan kepada RM23.03 bilion pada 2016.

Tetapi pada masa yang sama, peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri meningkat daripada RM19.2 bilion kepada RM20.3 bilion.

“Projek apa di bawah Jabatan Perdana Menteri yang lebih penting daripada menyelamatkan nyawa?” soalnya.

Teo berkata jutaan rakyat Malaysia yang bergantung kepada penjagaan kesihatan kerajaan kerana mereka tidak mampu mendapatkan rawatan alternatif di hospital swasta.

Menurutnya, bajet Kementerian Kesihatan yang dipotong sebanyak RM280 juta tahun ini memberi kesan negatif.

Beliau memetik kes Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahmah di Klang yang memaklumkan kakitangan hospital mengenai pemberhentian sementara ujian makmal patologi, disebabkan oleh dana yang tidak mencukupi.

Beliau juga merujuk bagaimana seorang pesakit kanser prostat yang mahu menjalani ujian darah di Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat tetapi diberitahu bahawa keputusan mungkin mengambil masa beberapa hari kerana hospital kehabisan peruntukan untuk ujian.

Sementara itu, Hospital Selayang tidak mempunyai peruntukan untuk menjalankan ujian darah kreatinin pada lewat September, manakala sesetengah klinik kerajaan menghentikan ujian saringan Hepatitis B kepada wanita hamil.

MKINI

.