USUL TAHALUF SYIASI MENJERAT AZMIN ALI?

Majlis Syura Ulama (MSU) parti agama (Pas) petang ini telah mengumumkan hasil sidang mereka bahawa usul memutuskan tahaluf syiasi dengan PKR diterima. Ertinya MSU telah mengerjakan tugasan mereka. Institusi itu membuat keputusan dari konteks keselarasannya dengan perlembagaan parti agama itu yang berlandaskan al Quran dan al Hadith.

Nampak berhati-hati benar Pas untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

Walhal kalau hendak diikutkan semangat perlembagaan dan organisasi, (cara berorganisasi) usul itu sepatut tamat apabila muktamar ke 63 di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, Kedah baru lalu menerima sebulat suara usul agar hubungan politik Pas dengan PKR diputuskan. Tetapi ia dibawa kepada MSU untuk membuat perincian dari sudut hukum hakam.

Yang sedikit memelikkan MSU mengembalikan pula usul berkenaan kepada Jawatankuasa kerja Pas. Ertinya jawatan kuasa eksekutif Pas akan mengambil tindakan susulan. Memahami apa dijelaskan oleh Setiausaha MSU, Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika mengumumkan perkara itu hari ini, eksekutif Pas akan membuat keputusan dengan mengambil kira “maslahat” rakyat dan kerajaan.
Bagi orang yang kurang faham, tidak akan mengerti kenapa perkara itu dipulang pula kepada eksekutif parti. Sebaliknya bagi orang yang dapat melihat lembaga kandatipun dalam gelap ianya adalah disebabkan Pas masih lagi mengambil kira kepentingan dan keuntungan kedudukannya dalam kerajaan Selangor.

Pandangan saya jawatankuasa kerja Pas tidak akan membuat keputusan berlainan dengan pandangan muktamr dan MSU itu. Pasti akan ada hujah-hujah sokongan untuk “menyelamatkan” kedudukan dan kepentingan Pas dalam kerajaan Selangor.

Suatu alasan yang mungkin boleh digunapakai untuk mengekalkan kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor dengan beralasan kerajaan itu dibentuk semasa tahalul syiasi dan pemutusan tahluf syiasi tidak berlaku pengeluran Pas dari kerajaan Selangor.

Dalam sudut lain keputusan MSU hari ini meletakkan MB Selangor Azmin Ali menjadi makin “lorat” sedikit untuk menaganinya sehinggakan mungkin menjadikan tidurnya tidak berapa “jenak”. Cadangan beliau hendak berjumpa dengan Abdul Hadi Awang, mungkin dapat menyelesaikan soal kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor yang mana beliau akan jelaskan sedikit masa lagi.

Pas seakan sudah terlepas dengan isu berkenaan tetapi Azmin masih terungkai dalam jerat yang play safe yang dipasangnya sendiri. Adalah elok kalau eksekutif mengambil keputusan memenuhi kehendak muktamar dan keputusan MSU itu bagi membolehkan parti agama itu melaksanakan apa yang saya pesankan dalam warkah “Mimpi Terganggu” yang saya tujukan kepada Ayah Chik.

Meramalkan apa yang berlaku nanti mungkin timbul sedikit ketergangan dan percanggahan pendapat dalam pimpinan tertinggi PKR nanti sewaktu mereka membincangkan untuk memberi reaksi kepada tindakan Pas itu.

Kumpulan yang “sepapan” dengan Azmin akan bersikap terbuka dengan Pas manakala kumpulan satu lagi pasti mahu PKR bertegas dengan usul yang boleh dianggap merendahkan wibawa PKR itu.

–¬†http://msomelayu.blogspot.my

.