USUL PAKSA AG KE PARLIMEN JELASKAN ‘DERMA’ RM2.6B NAJIB

Satu usul parlimen telah difailkan untuk memaksa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hadir di Dewan Rakyat untuk menjelaskan keputusannya untuk tidak meneruskan dakwaan berhubung ‘derma’ RM2.6 bilion yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Usul itu difailkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang berkata terdapat maklumat yang bercanggah mengenai sumbangan atau derma berkenaan.

Khalid berkata walaupun Apandi mengisytiharkan dana itu datang dari keluarga diraja Saudi, siasatan dan kes-kes mahkamah di luar negara termasuk di Singapura, menunjukkan bahawa wang berkenaan sebenarnya adalah daripada 1MDB.

“Kita mahu Peguam Negara datang ke Parlimen dan mendedahkan kepada kita fakta-fakta yang bercanggah ini dan tunjukkan kepada kita bahawa keputusan mahkamah Singapura itu adalah semuanya salah,” kata Khalid pada sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

Beliau berharap sekiranya Najib tidak mempunyai apa-apa yang mahu disembunyikan, maka beliau tidak akan ada halangan jika Apandi hadir di Parlimen.

Mahkamah Singapura tidak secara khusus menyentuh mengenai sumbangan atau derma RM2.6 bilion itu.

Walau bagaimanapun, dalam sabitan tokoh perbankan Swiss, Jens Fred Sturzenegger dalam siasatan berkaitan 1MDB, mahkamah Singapura mendapati bahawa empat akaun Falcon Private Bank dimiliki oleh syarikat yang dikuasai oleh jutawan Jho Low di bawah alias “Eric Tan Kim Loong”.

Dua daripada akaun Falcon yang disebut dalam kes mahkamah itu adalah milik Granton Property Holdings Ltd dan Tanore Finance Corporation.

Dana AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang berada dalam akaun bank peribadi Najib dikatakan berasal daripada Tanore Finance.

Pengkritik berkata pendedahan bahawa akaun berkenaan dikawal oleh Low melalui nama alias, membayangkan hubung kait jejak wang langsung antara perdana menteri dan Low.
Bagaimanapun, Apandi telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam skandal sumbangan atau derma itu pada awal tahun 2016 dengan berkata bahawa wang tersebut datang dari ahli keluarga diraja Arab Saudi.

Apandi juga berkata AS$620 juta daripada jumlah berkenaan telah dikembalikan kepada penderma.

– M’kini

.