USUL BEBAS MARIA CHIN DILULUS DI DUN P PINANG

GEORGETOWN – Sidang Dun Pulau Pinang meluluskan sebulat suara usul tergempar dengan membuat ketetapan di bawah Peraturan 34 (VIII) dalam mengecam penahanan Pengerusi Bersih 5.0, Maria Chin.

Keputusan itu dibuat Speaker Dun, Datuk Law Choo Kiang yang mengambil kira keputusan majoriti Dewan berhubung usul berkenaan.

Usul yang dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu membuat ketetapan mengecam dengan sekeras-kerasnya penyalahgunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Kuasa-kuasa Khas) 2012 atau Sosma yang digunakan sebagai alasan penahanan ke atas Maria.

Menurut usul berkenaan juga, penahanan itu juga dikecam kerana menyifatkan Maria bukan pengganas malah beliau tidak terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan.

Adun Air Putih (DAP) itu dalam usulnya berkata, Maria juga bukan ahli politik namun hanya seorang pemimpin pertubuhan sivil yang membuat lima tuntutan antaranya pilihanraya bebas dan adil, kerajaan bersih serta memperkukuhkan demokrasi Parlimen.

“Sehubungan itu, Dewan mengecam penahanan Maria tanpa bicara selama 28 hari dalam keadaan sel yang gelap selain diasingkan dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan. “Kita juga mendesak agar Maria dibebaskan tanpa syarat dengan segera,” katanya di sidang Dun, hari ini.

Dalam ucapannya, Guan Eng berkata, rakyat Malaysia terkejut apabila Maria ditahan di bawah Seksyen 4(5) Sosma.‎

“Semua rakyat Malaysia kecuali kerajaan apersekutuan dan BN tahu bahawa Maria bukanlah seorang pengganas atau terlibat dalam keganasan.

“Semasa Sosma dibentangkan di Parlimen pada 2012, kerajaan Persekutuan BN memberi jaminan bahawa ia bukanlah sebagai pengganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.

“Sebaliknya ia adalah satu akta khusus untuk mencegah keganasan dan ancaman pengganas sama ada ISIS ataupun ekstremis lain.

“Maria tidak mengerjakan aktiviti-aktiviti membabitkan keganasan tetapi hanya perhimpunan Bersih yang dijalankan dengan aman dan damai seperti empat perhimpunan Bersih sebelum ini,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan Persekutuan turut memberi jaminan bahawa Sosma tidak akan disalahgunakan terhadap golongan aktivis yang tidak bersetuju dengan kerajaan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, sekiranya Maria terlibat dengan politik, beliau tetap tidak patut ditahan di bawah Sosma.

“Beliau hanya terlibat dengan aktiviti pertubuhan sivil yang mungkin dianggap anti BN.

“Beliau juga hanya membuat lima tuntutan terutamanya pilihan raya yang bersih. Ini mungkin tidak disukai oleh kerajaan Persekutuan tetapi ia langsung tidak menyalahi Sosma.

“Oleh itu, Dewan mendesak Maria dibebaskan dengan segera,” katanya.

SINAR HARIAN

.