USTAZ KAZIM TERPAKSA KURANGKAN AKTIVITI CERAMAH

IPOH – Penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias terpaksa mengurangkan aktiviti ceramahnya atas nasihat doktor bagi memulihkan kembali kesihatannya.

Menurut beliau, punca utama kesihatannya terjejas adalah disebabkan tekanan yang melampau selain tidak menitikberatkan penjagaan makanan dan waktu tidur.

“Saya tertekan, ada lima doktor yang merawat saya dan mereka sependapat mengatakan saya mengalami tekanan melampau, kepenatan dan kurang rehat.

“Aktiviti ceramah, program televisyen ditambah dengan pengurusan dan penyeliaan Pusat Pendidikan Al-Barakah. Terlalu banyak benda nak difikir dan disebabkan itu kesihatan saya terganggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kursus Perjalanan Umrah Bersama Ustaz Kazim di Pusat Pendidikan Al-Barakah, di sini, hari ini.

Mohd Kazim berkata, sepanjang berada di Hospital Pakar Ipoh (KPJ), berat badannya turun mendadak kerana kerap muntah apabila menjamah makanan.

Katanya, selepas menjalani beberapa rawatan susulan doktor memaklumkan dirinya mengalami pendarahan usus.

“Sejak Isnin dan Selasa lepas, saya sudah rasa sakit dibahagian dada sehinggalah pada awal pagi Sabtu. Saya mula muntah, sakit perut dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital dalam pukul 7.30 pagi itu,” katanya.

SINAR HARIAN

.