USTAZ BOLLYWOOD MAHU MENGHADAP SULTAN JOHOR

PENDAKWAH Haslin Baharim berhasrat menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memberi penjelasan tentang kuliah agamanya kerana khuatir baginda mungkin mendapat nasihat yang salah susulan larangan berdakwah di negeri itu yang dikeluarkan terhadapnya, hari ini.

Selain menghadap Sultan Johor, beliau yang terkenal dengan julukan “Ustaz Bollywood” kerana sering mendendangkan lagu daripada filem Hindustan dalam kuliah agamanya, juga berharap dapat berjumpa Exco Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim untuk memberikan penjelasan yang sama.

Haslin yakin beliau tidak melakukan sebarang kesalahan seperti yang didakwa.

Beliau juga yakin Sultan Johor akan dapat memahami apa yang beliau lakukan melalui ceramah agamanya selama ini iaitu membela agama Islam.

“Saya cukup yakin yang Sultan Johor ini sangat terbuka dengan rakyatnya dan sangat bijaksana.

EDITORIAL: Seperti Johor, Putrajaya juga mesti banteras kebencian

“Saya rasa saya tak salah, tapi mungkin ada kekurangan maklumat tentang diri saya dan kes saya.

“Bagaimanapun, saya amat yakin dengan kebijaksanaan Tuanku “ katanya sewaktu dihubungi The Malaysian Insight.

Haslin disekat mengajar agama di Johor melalui titah Tuanku Sultan yang disampaikan oleh Mutalip. Selain Haslin, Johor turut mengenakan sekatan terhadap Mufti Zimbabwe, Ismail Menk.

Keputusan Johor itu dibuat sehari selepas Kementerian Dalam Negeri Singapura mengeluarkan larangan sama ke atas kedua-dua pendakwah itu.

Selain sekatan mengajar agama di Singapura, mereka juga dilarang memasuki republik itu.

KDN Singapura dalam kenyataannya menyebut Haslin disekat kerana ceramahnya dikatakan memecahbelahkan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Bercakap kepada The Malaysian Insight semalam, Haslin menafikan dakwaan tersebut dan meminta pihak berkuasa agama di Singapura untuk menunjukkan bukti ceramahnya yang dikatakan memecahbelahkan masyarakat.

Larangan Johor ini juga dibuat ketika Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata Putrajaya tidak ada sebarang masalah dengan dua penceramah itu.

Mengulas lebih lanjut, Haslin mengakui isu tersebut sebenarnya isu kecil dan menganggap kontroversi tersebut mempunyai hikmah yang tersembunyi.

“Saya tak buat masalah dengan orang. Kalau orang ada masalah dengan saya, saya berharap mereka berjumpalah dengan saya, daripada buat begini.

“Saya tidak takut untuk berjumpa dan menjelaskan salah faham ini terutama kepada pegawai agama Johor tersebut. Bagi saya berani kerana benar takut kerana salah.”

Tambahnya, lagi beliau sudah dua tahun tidak pergi ke Johor untuk mengadakan ceramah atas alasan kesihatannya.

“Tapi saya yakin orang di Johor, bahkan di Mersing sekali pun, mereka yang biasa dengar ceramah saya, mereka akan menyokong saya tidak bersalah.

“Kerana itu saya meminta pegawai agama Johor tersebut berlapang dada untuk berjumpa dengan saya dan saya juga amat berharap dapat mengadap dengan Sultan Johor.”

Bekas Imam Masjid Sultan Ibrahim, Kuala Selangor itu lewat tahun lalu dimasukkan ke hospital selama hampir 100 hari kerana mengalami jangkitan kuman selepas menjalani pembedahan masalah tulang belakang.

Ketika itu, timbul desas-desus liar mendakwa kononnya beliau meninggal dunia.

Sementara itu, Haslin kesal dituduh memecah belahkan masyarakat menerusi ceramahnya.

Katanya, jika benar dakwaan tersebut, sudah tentu perkara tersebut sudah lama tersebar dan beliau sudah lama juga dikenakan tindakan.

“Tapi saya bukan penceramah politik atau yang berkaitan dengan mana-mana NGO. Saya pendakwah bebas, bukan milik mana- mana ahli parti politik.

“Kalau orang panggil saya datang ceramah, saya pergi,” kata lulusan Universiti Islam Abu Bakar, Karachi, Pakistan itu.

“Dalam ceramah saya amat jarang menyentuh mengenai politik, cuma adalah yang saya menjawab mengenai undang-undang Islam atau contoh isu yang menghina Islam kata bahawa nabi bersedudukan dan pelbagai lagi.

“Sebagai pendakwah sudah tentu saya kena mempertahankan Islam,” tambahnya, dan bertanya apakah kerana mempertahankan Islam maka beliau dianggap memecah belahkan masyarakat.

Kuliah agamanya yang disampaikan secara santai dan menghiburkan, dengan diselit jenaka serta nyanyian, menjadikan Haslin popular dan kerap mendapat jemputan dari seluruh negara.

Beliau juga sering dijemput sebagai panel program agama di televisyen dan radio.

Video ceramahnya juga popular di platform media sosial YouTube dan disebar meluas melalui Facebook.

– https://www.themalaysianinsight.com

.