USAHA PAS PINDA RUU355 SEMAKIN MUSTAHIL

SHAH ALAM – Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub membayangkan usaha Pas untuk meminda Rang Undang -Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 semakin sukar.

Beliau berkata, keputusan kerajaan untuk tidak mengambil alih pembentangan usul menjadikan hasrat parti Islam itu hampir mustahil.

“Dari segi moralnya, apabila kerajaan BN telah katakan tidak boleh bawa, sedangkan urusan dalam parlimen untuk bawa sesuatu rang undang-undang mestilah dengan konsensus daripada sistem whip.

“Jadi, mana mungkin usul persendirian itu boleh menjadi undang-undang jika tidak melalui proses itu,” katanya mengulas pendirian Pas yang tetap meneruskan langkah bagi meminda Akta 355 meskipun kerajaan telah memutuskan tidak mengambil alih pembentangan tersebut.

Malah Salahuddin berkata, mustahil perkara itu menjadi rang undang-undang tanpa sokongan daripada majoriti ahli parlimen.

Mernurutnya, rang undang-undang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan.

“Rang undang-undang ini urusan kerajaan dan sebagai bekas ahli parlimen yang memahami peraturan, adalah terlalu sukar dan hampir mustahil rang undang-undang persendirian diterima dalam sejarah negara,” katanya.

SINAR HARIAN

.