USAH PEDULI CAKAP ORANG, KATA ZAHID PADA HISHAM

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuat kerja seperti biasa tanpa menghiraukan tanggapan berkaitan pelantikan naib presiden Umno itu sebagai menteri tugas-tugas khas.

Zahid, timbalan perdana menteri, mendakwa pelantikan itu dipertikai oleh pembangkang.

“Saya juga pernah dipertikai tapi saya tak peduli tentang perkara itu dan jalankan tugas dan tanggungjawab.

“Selagi tak buat salah dekat Allah dan tak salah undang-undang dan etika kerja saya teruskan walau apa pun orang bercakap,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri forum berkaitan dasar-dasar awam di ibu negara hari ini.

Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai pelantikan Hishammuddin selaku menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri yang mencetuskan pelbagai spekulasi berkaitan kepimpinan negara.

Veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Hishammuddin, yang juga menteri pertahanan, kini menjadi orang kedua paling berkuasa dalam BN.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula berkata, pelantikan itu bukan perkembangan baik untuk cita-cita politik Zahid kerana ia dilihat restu langsung daripada Najib yang juga sepupu Hishammuddin.

Zahid berkata pembangkang tidak akan sesekali memuji apa pun langkah kerajaan termasuk pelantikan Hishammuddin.

“Itu kerja dia (pembangkang). Apa sahaja yang mereka puji dalam langkah kerajaan ini. Satu pun tidak jadi, apa kita (kerajaan) nak hairankan. Buat kerja sahaja.

“Kita perlu ikhlas bila satu tanggungjawab itu diberikan kepada kita dan laksanakan sepenuhnya.

“Bukan hanya untuk menjaga hati seorang dua sahaja. Kita mahu lihatlah kita yang terbaik di mata orang tapi sebenarnya kita tidak ikhlas. Ini bukan tuju kepada sesiapa,” katanya.

Najib pada Rabu mengumumkan secara rasmi mengenai pelantikan itu dan bidang tugas Hishammuddin akan dibincangkan dalam masa terdekat.

MKINI

.