USAH LAYAN ‘2, 3 AHLI BIRO POLITIK’ PKR, KATA RAFIZI RAMLI

USAH layan berita politik, yang berpunca daripada “dua, tiga ahli Biro Politik PKR”, yang tidak membantu mengalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya tumpu perhatian kepada persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Rafizi membuat seruan itu kepada seluruh pimpinan parti “dari yang tertinggi di Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat” sampailah kepada pimpinan di akar umbi PKR.

“Kini, kita sudah terlalu dekat dengan pilihan raya dan sewajarnya kita memberi fokus kepada persediaan PRU14 (bukannya berita dalaman sebegini),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rafizi membuat kenyataan itu rentetan laporan Sinchew Daily kononnya ahli Parlimen Pandan itu diberi amaran keras oleh Biro Politik PKR kerana memburukkan nama baik parti dan akan dipecat daripada parti jika terus bersuara.

Laporan itu ditulis dengan memetik sumber Biro Politik PKR yang tidak dinamakan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang keputusan Biro Politik yang begitu. Saya tidak diberi sebarang amaran oleh sesiapa dan tiada sebarang keputusan mengenai tindakan tatatertib dibuat oleh Biro Politik. Sudah tentu berita yang saya boleh dipecat juga direka-reka,” kata Rafizi.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga dalam satu kenyataan semalam mengesahkan tiada tindakan seperti itu diambil terhadap Rafizi.

Ahli majlis pimpinan pusat PKR, Latheefa Koya minggu lalu menuduh ada pemimpin kanan PKR yang bersekongkol dengan Umno dan sudah dibeli oleh Timbalan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri.

Rafizi tidak mengiyakan tuduhan itu tetapi mengaku beliaulah orangnya yang disindir oleh Latheefa dalam kenyataannya yang dimuat naik di Facebook.

“Saya tahu ada kempen senyap-senyap terhadap saya dalam PKR oleh segelintir orang yang menuduh saya sudah dibeli oleh Zahid Hmidi untuk mencetuskan kacau bilau dalam parti, sebagai ganti kebebasan dan tidak masuk penjara,” katanya seperti dipetik oleh The Star.

Rafizi berkata beliau sudah memaafkan Latheefa atas tuduhan itu.

Mahkamah Tinggi pada 23 Ogos lalu mengekalkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Rafizi selepas sabit kesalahan mendedahkan laporan audit 1Malaysia Development Berhad. Hukuman itu ditangguhkan sementara kes rayuannya diselesaikan.

Rafizi juga ada satu kes di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan berhubung pendedahannya mengenai ladang lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Rafizi berkata beliau tidak terkejut dengan laporan salah media itu kerana ia pernah berlaku beberapa kali sebelum ini “setiap kali ada perbezaan pendapat yang ketara dalam kepimpinan.”

“Ada beberapa pimpinan (PKR) yang gemar memberikan gambaran salah kepada pihak media dengan berselindung di sebalik nama ‘sumber dalaman parti’ untuk memastikan pandangan mereka diambil sebagai pandangan umum, walaupun itu bertentangan dengan perbincangan atau keputusan sebenar Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya.

Beliau menyebut dua insiden besar ketika berita palsu banyak tersebar iaitu semasa pelantikan Azmin Ali menggantikan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dan pembahagian kerusi semasa pilihan raya negeri Sarawak.

“Selagi dua tiga orang ahli Biro Politik ini tidak berdisiplin dan memberikan maklumat yang salah kepada pihak media dan ahli parti, keadaan akan terus bercelaru,” katanya tanpa menamakan “dua tiga orang” yang dimaksudkannya itu.

Rafizi berkata sejak selepas pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, beliau mengambil keputusan untuk menumpu perhatian pada kempen di kerusi marginal, berbanding membetulkan maklumat salah yang disebarkan oleh “dua tiga orang ahli Biro Politik” itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.