USAH JADIKAN TUNTUTAN PULAU BATU PUTIH PROPAGANDA PRU

Kerajaan tidak seharusnya menjadikan isu permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pemilikan Pulau Batu Putih sebagai propaganda untuk memenangi hati rakyat bagi menghadapi Pilihanraya Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

“Saya mengingatkan pihak kerajaan agar jangan menjadikan isu tuntutan semua Pulau Batu Putih hanya sebagai propaganda untuk memenangi hati rakyat bagi menghadapi Pilihanraya Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang,” kata Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan media.

Sebaliknya, beliau berkata pihak kerajaan dalam tuntutan kali ini perlu lebih serius supaya apa yang dilakukan pada tuntutan sebelum ini tidak berulang dan sekaligus mengagalkan usaha sehingga terlepasnya pulau tersebut kepada Singapura.

“Kerajaan juga perlu menyediakan pakar dalam pelbagai bidang terutamnya sejarah. .

“Saya pernah bertemu dengan (pakar sejarah) Allahyarham Datuk Dr Nik Anuar Nik Mahmud yang menyatakan kegagalan sebelum ini adalah disebabkan kurang persediaan dalam tuntutan pulau tersebut,” katanya.

Malaysia telah memohon kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menyemak semula keputusan 2008 berhubung Pulau Batu Putih yang disebut di Singapura sebagai Pedra Branca.

Ini berikutan penemuan tiga dokumen di Arkib Negara United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Jan, 2017.

Dokumen itu termasuk surat-menyurat sulit antara pihak berkuasa penjajah Singapura pada tahun 1958, sebuah laporan kejadian yang difailkan pada tahun 1958 oleh seorang pegawai tentera laut British dan catatan peta operasi tentera laut dari 1960-an.

“Malaysia berhujah bahawa mahkamah akan terikat untuk mencapai kesimpulan berbeza mengenai soal kedaulatan ke atas Pedra Branca sekiranya mereka menyedari bukti baru ini,” kata ICJ dalam satu kenyataan akhbar awal minggu ini.
Pulau Batu Putih terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor.

Kedua-dua negara Malaysia dan Singapura memutuskan untuk menyelesaikan pertikaian tiga dekad mereka mengenai kedaulatan Pulau Batu Putih dan juga Middle Rocks serta South Ledge melalui ICJ.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puieh manakala Middle Rocks dan South Ledge adalah milik Malaysia kerana kedua-duanya akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.
Mengulas lanjut, Salahuddin, turut menghulurkan tangan membantu sebarang usaha mendapatkan semula Pulau Batu Putih dan sekali lagi berjaya memulangkan kedaulatan negara.

– M’kini

.