UNIVERSITI MALAYSIA GAGAL MENCAPAI RANKING 100 ASIA PASIFIK

UNIVERSITI di Malaysia gagal mencapai kedudukan 100 universiti terbaik Asia Pasifik, di mana Universiti Malaya tidak tersenarai dalam lebih 200 universiti terbaik rantau ini.

Ranking universiti terbaik Asia Pasifik Times Higher Education (THE) menyaksikan tujuh universiti Malaysia tersenarai, dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) mendahului universiti lain pada kedudukan ke-128.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada kedudukan ke 130, diikuti Universiti Teknologi Petronas (138), Universiti Sains Malaysia (149) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (154). Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) tersenarai dalam ranking 200 ke atas.

UM bagaimanapun langsung tidak tersenarai.

Ranking Universiti Asia PasifiK 2017 THE menganalisis universiti di 38 negara Asia Timur, Asia Tenggara dan Oceania dengan ranking keseluruhan menampilkan 200 universiti dari 13 negara berbeza.

Mengungguli senarai teratas tahun ini adalah National University of Singapore, diikuti Universiti Peking, China, Universiti Melbourne, Australia dan Universiti Tsinghua, China.

Ia menggunakan penunjuk prestasi yang sama seperti THE World University Rankings, tetapi pemberian wajaran telah diselaraskan untuk mencerminkan profil muda beberapa universiti di rantau ini.

Universiti di China, Hong Kong dan Korea Selatan ksesemuanya tersenarai dalam 20 teratas.

Jepun merupakan negara paling banyak wakil dengan 69 universiti, diikuti China dengan 25 universiti. Negara lain yang turut tersenarai adalah Australia (32), Taiwan (26), Korea Selatan (25) dan Thailand (9).

Kehilangan UM dalam ranking itu mengejutkan, kerana ia merupakan institusi  berada pada senarai teratas apabila menduduki tangga ke-59 pada ranking THE universiti terbaik Asia tahun ini.

Bagaimanapun, UM masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

UM menduduki tangga ke-114 pada ranking QS Universiti Dunia tahun ini, peningkatan daripada tangga ke-133 pada tahun 2016. Bagaimanapun univerisiti itu – yang dianggap antara universiti terbaik di rantau ini – gagal berada di dalam 100 senarai universiti terbaik. – 5 Julai, 2017.

– https://www.themalaysianinsight.com

.