UNDI PAS DALAM PRU–14 SIA-SIA: KHALID

SHAH ALAM – PAN terus menabur racun dalam usahanya menyingkirkan Pas di Selangor apabila menyifatkan sokongan dalam bentuk undi oleh pengundi kepada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang adalah sia-sia.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad berkata, undi kepada Pas umpama orang ramai sengaja membuang undi kerana parti tersebut tidak akan membentuk kerajaan jika berlakunya pertembungan tiga penjuru di negeri terkaya di Malaysia itu.

Kenyataan terbaru oleh Khalid yang juga ‘orang kuat’ di sebalik rancangan menyingkirkan Pas di Sela­ngor itu dilihat paling sinis sejak kedua-dua parti berkenaan saling bertikam lidah secara terbuka dalam isu kerusi pilihan raya.

“Pas seorang diri (dalam PRU-14) tidak boleh tubuh kerajaan, sebab itu undi Pas sama macam buang undi.

“Rakyat akan sedar dan pe­ngundi Pas terutamanya orang Melayu yang sebelum ini menyokong mereka akan beralih kepada pakatan pembangkang terutamanya PAN,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Khalid secara terbuka men­dedahkan PAN bersama sekutunya, Par­ti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan bertanding di semua kerusi ditan­dingi Pas dalam PRU-14, dalam usaha menyingkirkan parti itu di Selangor.

Pendedahan Khalid itu kemu­diannya dibalas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menegaskan, Pas tidak sedikit pun gentar untuk berdepan pertan­dingan tiga atau empat penjuru dalam PRU-14 nanti.

Ditanya mengenai pendirian Pas itu, Khalid memberitahu, PAN juga tidak gentar jika berlaku pertandingan tiga penjuru atau empat penjuru kerana mendakwa pakatan pembangkang sudah bersedia untuk menghadapinya.

“Perkara itu (tiga penjuru) kita dah agak. PAN telah lama bersedia untuk menggantikan Pas dalam pakatan pembangkang dan kita yakin dapat berbuat demikian kerana kita bertanding atas nama pakatan,” jelasnya.

– UTUSAN

.