UMPAMA TERSARUNG STOKIN BUSUK

A security personnel walks past a logo of United Malays National Organisation (UMNO) ahead of its party's annual General Assembly at the Putra World Trade Centre (PWTC) in Kuala Lumpur on November 24, 2014. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

Masih kedapatan sebenarnya pemimpin-pemimpin UMNO, selain yang berjawatan Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen, yang tetap mengharapkan Najib Razak dapat meletak jawatan sebelum pilihanraya akan datang dan seterusnya memberi laluan kepada orang lain mengambil alih tempatnya.

Setelah pertemuan dan berbaiknya semula Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar, tidak sedikit yang jadi susah hati dan semakin hilang keyakinan mengenai masa depan UMNO dan BN.

Mereka kini melihat masa depan UMNO, selagi dipimpin Najib, semakin kabur dan tidak menentu masa depannya.

Di sebalik Zahid Hamidi mengatakan pertemuan dengan Anwar itu sebagai tidak ikhlas dan langkah terdesak Tun Mahathir untuk meraih sokongan pembangkang, kata mereka, apakah UMNO dan BN tidak jadi terdesak setelah melihat kedua-dua pemimpin itu berbaik semula?

Jika pada 2013, Anwar Ibrahim berjaya menjadikan 52 peratus undi popular rakyat memihak kepada pembangkang, apakah dengan adanya Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin bersama mereka, tidak mungkin angka itu menginjak kepada 65 peratus, 70 peratus atau lebih daripada itu?

Realiti itu tidaklah sukar untuk difahami. Bukan saja pemimpin pertengahan atau ahli-ahli biasa saja yang mudah memahaminya, malah majoriti Ketua Bahagian, Ahli Parlimen dan menteri-menteri UMNO juga sedar mengenainya.

Tetapi, ibarat “sudah tersarung stokin busuk”, itulah yang terjadi kepada pemimpin-pemimpin UMNO. Tidak ramai yang mahu memakai stokin busuk kerana ia membuatkan seseorang tidak selesa dan hilang keyakinan diri sepanjang hari.

Kadang-kadang, disebabkan kesibukan dan tidak cermat, kerapkali antara kita tersarung stokin busuk yang sudah beberapa hari tidak dibasuh. Ia memang tidak menyelesakan, malah merimaskan.

Mahu ditanggal dan berkasut tanpa stokin, lagi kelihatan janggal. Mahu pergi ke kedai dan menukarnya di sana, terasa malu pula kerana baunya yang semerbak itu.

Mahu tidak mahu, jika sudah tersarung stokin busuk, terpaksalah seseorang itu memakainya sepanjang hari sehingga balik ke rumah pada lewat petang atau malamnya.

Itulah dilema pemimpin-pemimpin UMNO sekarang. Dalam UMNO hanya Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen yang benar-benar ada kuasa menyingkirkan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Namun, mereka ini majoritinya sudah termakan budi Najib. Ada yang diberikan duit jutaan ringgit seperti yang berlaku kepada Shahrir Samad dan Ahmad Maslan. Tun Mahathir ada menyebut sebelum ini, jika Shahrir Samad dan Ahmad Maslan menerima duit daripada Najib, adalah janggal jika Ketua Bahagian lain tidak diberikan sama duit oleh Najib.

Ada pula yang diberikan jawatan seperti menteri, timbalan menteri atau pengerusi syarikat GLC supaya jadi termakan budi dengan Najib. Yang lain-lain, diberikan pula kontrak, peluang perniagaan, anugerah gelaran dan pelbagai lagi. Pendeknya, di kalangan Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Parlimen, tidak ada yang terkecuali daripada menerima habuan masing-masing.

Oleh kerana sudah termakan budi dan menjadikan mereka seperti seseorang yang tersarung stokin busuk tadi, apa lagi yang mampu mereka lakukan. Tidak selesa atau rimas, mereka akan terus memakainya biar bagaimana besar sekali pun masalah yang ditimbulkan oleh Najib.

Bukan mereka tidak sedar beban yang dibawa Najib kepada UMNO dan kerajaan. Bukan mereka tidak sedar UMNO kini diambang kehancuran dan negara kian dipandang jelek di peringkat antarabangsa. Mereka tiada pilihan selain terpaksa menyokong dan mempertahankan Najib sehingga ke penghujung perjuangan.

Sebab itu, Tun Mahathir berulangkali menyatakan UMNO kini sudah jadi parti Najib. Yang dipertahankan bukan lagi UMNO, tetapi Najib. Selagi Najib ada, mereka akan terus mempertahankannya meskipun sedar ketidakselesaan yang diakibatkan olehnya sebagaimana tidak selesanya apabila tersarung stokin yang sudah busuk.

Kini, rakyat dan pengundilah yang mampu menjadikan peratusan 65, 70 atau lebih daripada itu benar-benar menjadi kenyataan supaya pemimpin tidak terus dipertahankan sepertimana seseorang tidak mahu menanggalkan stokin busuknya.

Shahbudin Husin

– SH

.