UMNO TIDAK MAAFKAN PENGKHIANAT

SHAH ALAM – Umno akui tidak pernah lupa jasa Tun Dr Mahathir Mohamad, namun tidak akan memaafkan pengkhianat.

Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, sukar ahli Umno memaafkan pengkhianatan dilakukan Mahathir terhadap parti itu.

“Saya yakin ahli Umno tak lupa jasa beliau. Tapi dalam masa sama kita tak juga lupa pengkhianatan beliau kepada parti Umno dan orang Melayu, lebih-lebih kepada Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, ahli Umno juga tidak lupa segala ungkapan dan pendirian Mahathir terhadap pembangkang suatu ketika dahulu, namun hari ini beliau sendiri yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang.

“Hari ini, beliau bersama DAP untuk menentang Umno sedangkan 22 tahun mentadbir negara yang didukung oleh Umno. Beliau yang berubah, kita tak lupa segala kata-katanya, kita ingat, dan kenang jasa Mahathir,” katanya.

Selain itu, Nazir berkata, ahli Umno sedar Mahathir seorang pemimpin negara yang disegani, malah bijak dalam urusan mentadbir negara.

Namun, katanya, Mahathir tidak seharusnya cuba mengawal kuasa perdana menteri yang dipegang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.

Sementara itu, Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, parti itu tidak pernah melupakan jasa Mahathir sebagai Presiden Umno dan juga perdana menteri.

Namun, Mustapha berkata, Mahathir sendiri lupa beliau dapat bertahan selama 22 tahun dalam pentadbiran negara dan parti disebabkan sokongan ahli Umno sendiri.

“Mahathir jadi Presiden Umno dan Perdana Menteri kerana ahli Umno yang sentiasa berdiri teguh dan sokong kepimpinan belia selama ini.

“Apa yang berlaku kini beliau nampak seolah-olah Umno lupakan jasanya namun tidak. Umno tidak pernah lupa jasa Mahathir dan itu hanyalah anggapan beliau sebab parti tidak ikut kehendaknya,” katanya.

Katanya, tindakan Mahathir yang memilih keluar dari parti dan campur tangan dalam pentadbiran negara menyebabkannya dilupakan oleh Umno.

“Tindakan Mahathir untuk cuba campur tangan dalam pentadbiran negara tidak betul kerana beliau tidak lagi mempunyai jawatan.

“Sedangkan setiap Perdana Menteri mempunyai cara kepimpinannya sendiri,” katanya.

sinar harian

.